Malaysia Dateline

Kedah duduki kelompok terbawah negara jumlah penerima vaksin

Kerajaan Negeri Kedah seharusnya meningkatkan usaha bagi mencambahkan lagi jumlah penerima vaksin setelah negeri Kedah berada pada senarai kelompok terbawah penerima vaksin tersebut sehingga 16 Ogos 2021.

Majlis Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah dalam satu kenyataan berkata, sehingga 16 Ogos 2021 sejumlah 55 peratus penduduk dewasa negeri Kedah telah pun menerima dos yang pertama.

Manakala bagi suntikan dos kedua hanya 31.8 peratus sahaja penduduk yang telah menerima suntikan tersebut dan ianya jauh bezanya dengan peratus purata dalam negara.

“Kadar insiden kes adalah purata 7 kes sehari bagi setiap 100,000 penduduk ialah 75.27 peratus melebihi purata iaitu 59.27 peratus dan jauh berada diposisi ketiga dibelakang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

” Kerajaan negeri Kedah perlu meningkatkan pemberian vaksin secara ‘walk in’ dan memperbanyakkan lagi operasi vaksinasi bergerak bagi memperluaskan pemberian vaksin tersebut khususnya di kawasan luar bandar termasuk golongan kurang upaya serta warga emas.

“Semua pekerja sektor industri juga perlu divaksinasi sepenuhnya kerana golongan tersebut juga menjadi penyumbang kepada penularan wabak Covid-19 di negeri Kedah,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan tersebut lagi, usaha perlu dilaksanakan dengan meningkatkan lagi jumlah kapasiti vaksinasi di seluruh tempat termasuklah klinik kesihatan, hospital kerajaan dan swasta maupun klinik swasta serta semua pusat pemberian vaksin.

Kenyataan bersama pimpinan PH Kedah tersebut ialah Datuk Johari Abdul, Pengerusi PH Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, Pengerusi AMANAH Kedah dan Pengerusi Dap Kedah, Tan Kok Yew.