Kedah julang perisai Unity Shield, tundukkan Perak 2-0

Kedah julang perisai Unity Shield, tundukkan Perak 2-0

Kedah memulakan kempen pramusim Liga Malaysia 2019 dengan penuh semangat, apabila menjulang perisai Unity Shield setelah menundukkan Perak 2-0 pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Darul Aman di sini, malam ini.

Gol awal Kedah dijaringkan oleh Fernando Rodriguez Ortega yang menyepak masuk bola ke dalam gawang Perak pada minit ke-68 selepas Baddrol Bakhtiar yang mengambil sepakan percuma di luar kotak penalti menolak pantas bola kepadanya daripada menendang terus ke gawang lawan.

Gol kedua Kedah hadir pada minit ke-76 menerusi tandukan Shahrul Azwari Ibrahim, hasil hantaran lintang di sebelah kiri tiang gol oleh Mohd Rizal Khazali.

Perak yang tersentak dengan jaringan itu cuba bangkit membuat serangan berbahaya, namun berjaya dipatahkan pemain pertahanan tuan rumah dan keputusan itu kekal hingga wisel penamat ditiup pengadil malam ini, Suhaizi Shukri.

Kira-kira 25,000 penyokong Kedah memenuhi Stadium Darul Aman bagi menyaksikan perlawanan khas pada malam ini yang menyaksikan dua pasukan yang bakal bersaing dalam Liga Super musim ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak ( PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Perlawan persahabatan Unity Shield diilhamkan oleh Mukhriz bagi menyatupadukan hubungan dua kelab bolasepak di utara tanah air iaitu KFA dan PAFA.

Perisai Unity Shield ditempah khas daripada Royal Selangor Pewter dan perlawanan itu akan berlangsung secara tahunan dengan giliran venue antara Alor Setar pada tahun ini dan Ipoh pada tahun hadapan.

Loading...

Perlawanan ini turut menjadi medan kedua-dua pasukan untuk menguji kesebelasan utama termasuk pemain import sebelum sepak mula Liga Malaysia 2019 pada bulan depan.

— BERNAMA