Malaysia Dateline

Kedah kedua selepas Pulau Pinang dalam pelaburan langsung dan asing

Negeri Kedah berada di tempat kedua selepas Pulau Pinang dalam pelaburan langsung tempatan dan asing dengan jumlah pelaburan hampir RM7.6 bilion bagi suku pertama tahun ini.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika sambutan majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Jerlun semalam.

Malah katanya lagi, sektor pembuatan dan makanan merupakan penyumbang utama kepada jumlah pelaburan tersebut bagi Januari hingga Mac 2019.

“Laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membuatkan kerajaan negeri begitu yakin untuk mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM10 bilion pada akhir tahun ini.

“Berdasarkan kepada pencapaian tersebut, maka sasaran pelaburan perlu ditingkatkan lagi selepas ini.

“Pencapaian luar biasa tersebut memperlihatkan bahawa negeri Kedah masih lagi menjadi destinasi pelaburan yang menarik bagi para pelabur,” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata yang menjadi prioriti ialah keupayaan negeri Kedah untuk menarik pelaburan dan keyakinan para pelabur terhadap kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan.

Justeru itu tambahnya, seandainya para pelabur merasakan tidak yakin dan tiadanya mesra pelabur serta terlalu banyak birokrasi, tidak dapat dinafikan, kemungkinan besar mereka akan mencari negeri dan negara lain sebagai destinasi pelaburan mereka

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan exco dan kepimpinan kerajaan negeri dan Pakatan Harapan negeri Kedah.