Kedah lancar pelan induk tenaga hijau diperbaharui

Kedah lancar pelan induk tenaga hijau diperbaharui

Perbadanan Menteri Besar Kedah melancarkan Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharu Negeri Kedah, sebagai garis panduan khusus untuk memastikan pembangunan negeri seiring kelestarian alam.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pelan itu juga akan menjadi panduan bagi pelabur yang berminat untuk melabur dalam industri tenaga boleh diperbaharui.

“Pelan yang dirangka dengan kerjasama Cypark Resource Berhad ini menggariskan empat teras utama dengan memberi fokus kepada pembangunan tenaga solar, biogas, biojisim dan hidroelektrik.

“Pelan induk ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan negeri tidak menjejaskan kelestarian alam semula jadi di negeri ini, ” katanya ketika melancarkan pelan itu di Sik, malam tadi.

Beliau berkata Malaysia boleh mengumpul tiga kilowatt per jam elektrik bagi setiap meter persegi daripada solar memandangkan berkedudukan negara ini berhampiran garisan Khatulistiwa.

“Bagi tenaga biojisim dan biogas, ia dapat dihasilkan menerusi sisa buangan yang terhasil dan dikumpulkan oleh pihak berkuasa tempatan selain daripada sisa buangan hasil pertanian seperti sekam padi dan hampas kelapa sawit, ” katanya.

Mukhriz berkata di samping dapat menyumbang kepada grid tenaga nasional, ia juga dapat menjana pendapatan sampingan petani terutamanya di luar musim penanaman.

“Berdasarkan keluasan kawasan pertanian yang ada, Kedah mempunyai sisa pertanian yang banyak terutamanya dari ladang kelapa sawit dan kawasan sawah padi, ” katanya.

Beliau berkata sisa buangan daripada hasil pertanian boleh diproses untuk menghasilkan tenaga boleh baharu melalui kepakaran teknologi yang ada. – BERNAMA.