Malaysia Dateline

Kedah, P. Pinang hasrat wujudkan kerjasama belia dan sukan

Pembangunan sukan bagi negeri Kedah dan Pulau Pinang akan dilipatgandakan melalui usahasama yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Demikian dinyatakan oleh Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Jelas beliau lagi, beberapa perbincangan bagi pembangunan sukan kedua-dua negeri turut melibatkan sukan bola sepak serta juga belia.

Selain itu katanya, pendidikan sukan melibatkan sekolah-sekolah juga menjadi tumpuan yang akan turut dibuat perubahan.

“Perbincangan mengenai plan ‘Plat Form’ seperti tindakan penglibatan belia bersama industri syarikat swasta umpama ‘workshop’ atau bengkel sepertimana yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang juga menarik perhatian.

“Kesedaran, demokrasi dan sivik, kepimpinan serta bakat yang ada pada golongan belia kedua-dua negeri turut menjadi perbincangan yang mampu untuk dilaksanakan.

“Apa yang lebih menarik Kedah dan Pulau Pinang mempunyai keistimewaan masing-masing serta kepakaran tertentu dalam bidang sukan yang berlainan, ” tegasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, kejayaan yang telah berjaya dilakar seperti bola sepak di Kedah mampu untuk dikongsi bersama dengan Pulau Pinang dan sebaliknya.

“Sebaliknya Pulau Pinang yang turut mempunyai keupayaan dalam bidang sukan seperti skuasy boleh memberi pendedahan dari pelbagai aspek kepada golongan belia di sini.

“Manakala dari segi latihan dan program yang telah mampu membawa kejayaan kepada Pulau Pinang boleh dikongsi bersama mengenai pembangunan sukan tersebut.

“Secara jelas, usahasama bukan saja melibatkan sukan, tetapi juga keusahawanan yang mampu untuk membuka ruang baru mengenai pelbagai skop keusahawanan yang ada, ” ujarnya.

Asmirul yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah juga berkata, perubahan demi perubahan akan direncanakan untuk menjadi realiti melalui jalinan kerjasama yang akan diwujudkan antara kedua-dua negeri.