Malaysia Dateline

Kedah perlu bantuan untuk rapatkan jurang pembangunan antara negeri, kata Mukhriz

– Kedah memerlukan bantuan daripada kerajaan Persekutuan bagi merapatkan jurang perbezaan dalam aspek pembangunan ekonomi dengan negeri lain, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata pihaknya mengakui Kedah sangat memerlukan perhatian yang lebih khusus mengenai keperluan negeri bagi melonjakkan ekonomi negeri.

“Ada beberapa projek yang boleh jadi pencetus pembangunan ekonomi negeri ke tahap setanding dengan negeri-negeri lain, antaranya yang sudah banyak kali disebut seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan Kedah Rubber City.

“Kadang-kadang kita perlukan lebih sikit lagi perhatian daripada kerajaan pusat untuk jayakan projek-projek ini… tujuannya sudah tentulah untuk memperkasakan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Bersama Kerajaan Kedah di sini, hari ini.

Sesi libat urus dengan kerajaan-kerajaan negeri itu bermula sejak 5 Julai lepas, dengan Kedah merupakan negeri terakhir yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin bagi membincangkan mengenai penyediaan RMK12.

Mukhriz berkata pada sesi itu, kerajaan negeri berkongsi laporan mengenai prestasi pembangunan negeri dan beberapa isu berbangkit dengan pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Harapan kami adalah supaya ia akan dipertimbang oleh kerajaan Persekutuan dalam merangka RMK12. Apa juga kemusykilan kita sudah sampaikan kepada kerajaan Persekutuan (menerusi sesi itu),” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata penyediaan RMK12 mengambil pendekatan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama, antaranya untuk merapatkan jurang dan menstruktur semula ekonomi serta membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu.

Menurutnya, Kedah sememangnya merupakan antara negeri yang diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan.

Katanya kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi rentas sempadan melibatkan Kedah dan Thailand serta Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) akan terus dimanfaatkan bagi pembangunan negeri ini.– BERNAMA