Malaysia Dateline

Kedah pertimbang gabung anak syarikat elak kerugian

Kerajaan Kedah tidak menolak kemungkinan menggabungkan mana-mana anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) yang menjalankan operasi hampir sama sebagai langkah untuk mengelak kerugian.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kerajaan negeri akan terlebih dahulu menjalankan audit dalaman dalam masa terdekat ke atas setiap anak syarikat MBI Kedah dan mengenal pasti masalah dihadapi.

“Kita akan buat audit dalaman di peringkat kerajaan negeri terhadap semua anak syarikat untuk mengenal pasti puncanya dahulu, selepas itu baru kita tentukan tindakan seterusnya sama ada meneruskan, menggabungkan atau menutup sesebuah anak syarikat tersebut.

“Saya lihat, kemungkinan gabungkan anak syarikat itu lebih tinggi. Kalau gabung mungkin anak syarikat buat operasi sama yang tidak membawa keuntungan kepada kerajaan negeri, sebab itu kita gabung untuk elak kerugian,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 hari ini, yang menegur syarikat Kedah Agro Holdings berikutan kedudukan kewangannya kurang stabil selepas mencatat kerugian sebelum cukai selama dua tahun berturut-turut, pada 2015 dan 2016.

Laporan berkenaan turut menyebut pengurusan aktiviti Kedah Agro Holdings adalah kurang cekap dan berkesan kerana pengurusan aktiviti syarikat usahasama dan kedudukan kewangan syarikat subsidiari kurang memuaskan selain amalan tadbir urus anak syarikat tersebut juga kurang memuaskan.

Dr Ismail berkata kerajaan negeri juga sedar masalah dihadapi beberapa anak syarikat di bawah MBI Kedah yang diwarisi kerajaan terdahulu termasuk kepincangan berlaku sehingga menyebabkan kerugian berjuta ringgit.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Komuniti McDonald’s 2018 Peringkat Kedah ‘Kembali ke Sekolah’, dan 1,250 pelajar dari seluruh negeri ini dipilih untuk menerima satu set pakaian seragam sekolah, kasut dan beg sekolah sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan tahun depan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata McDonald’s turut menjalankan program perintis Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) yang menyediakan peluang kepada belia daripada golongan asnaf mengikuti program latihan berkaitan pengurusan selama 18 bulan.

“Hari ini, 30 belia menerima surat lantikan untuk menyertai SLDN bagi membolehkan mereka mendapat latihan dalam industri di McDonald’s dan selepas menamatkan program tersebut, mereka layak untuk bekerja di mana-mana 270 restoran McDonald’s di seluruh negara,” katanya.