Malaysia Dateline

Kedah peruntukkan RM200juta selenggara 16,000km jalan negeri

Sebagai sebuah kerajaan negeri yang senantiasa peka terhadap keselamatan dan keperluan rakyat, setakat ini sejumlah RM200 juta telah pun diperuntukkan oleh kerajaan negeri Kedah bagi penyelenggaraan 16,000 kilometer jalan bagi negeri Kedah.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga, Datuk Ir Zamri Yusuf ketika turun padang melawat kawasan Kampung Lepai, Bukit Pinang.

Jelasnya, sebelum ini terdapat banyak aduan yang telah diterima mengenai keresahan pengguna jalan raya khususnya berdekatan Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar, Bukit Pinang.

Malah kata beliau lagi, terdapat keresahan ekoran begitu banyak kemalangan melibatkan pelajar sekolah telah berlaku di kawasan tersebut.

Sejajar dengan itu ujarnya, langkah awal yang diambil bagi mengatasi masalah tersebut ialah menambah ‘road stud’ bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya.

“Dengan adanya ‘road stud’ tersebut ia akan mengingatkan pemandu kenderaan supaya memperlahankan kenderaan mereka.

“Baru-baru ini juga kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM10 juta sebagai sebahagian dari inisiatif jalan selamat dengan mengeluarkan 132 tawaran kerja bagi meningkatkan ciri keselamatan jalan raya.

“Adalah difahamkan bahawa 13 peratus punca kemalangan jalan raya di negeri Kedah didakwa berpunca daripada keadaan jalan raya, ” tegasnya.

Oleh kerana itu tambah beliau, tindakan segera diambil bagi memperbaiki keadaan jalan raya sedia ada supaya jamlah kemalangan dapat berkurangan.

Katanya lagi, penyelenggaraan jalan raya di negeri ini dilaksanakan secara berkala dan mengikut keperluan.

Menurut Zamri, pada masa yang sama, aduan dan keprihatinan daripada pimpinan masyarakat termasuklah wakil rakyat dan ketua-ketua kampung amat diperlukan sekiranya terdapat mana-mana kawasan yang perlu diselenggarakan.