Kedah pinjam bank luar tambah baik struktur bekalan air, kata Menteri Besar

Kedah pinjam bank luar tambah baik struktur bekalan air, kata Menteri Besar

Kerajaan Kedah kini dalam proses mendapatkan pinjaman mudah sebanyak US$50 juta (kira-kira RM200 juta) daripada sebuah bank di luar negara bagi menambah baik infrastruktur bekalan air di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata pinjaman itu dipohon melalui kerjasama dengan Kementerian Kewangan dan akan digunakan untuk mengatasi masalah Air Tidak Berhasil (NRW).

“Seperti yang banyak dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat di negeri ini, masalah air tanpa hasil (NRW) berada pada tahap masih tinggi iaitu 49 peratus.

“Kita harap dengan projek NRW yang dibiayai bank luar negara ini, setelah dimeterai perjanjian dengan Kementerian Kewangan, kerajaan negeri boleh mulakan projek NRW ini dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas penangguhan mesyuarat keempat penggal pertama Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, Syarikat Air Darul Aman (Sada) akan menjalankan kajian terperinci berhubung NRW bagi mengenal pasti kawasan terlibat.

“Kawasan yang kerap berlaku kebocoran (paip air) tidak boleh diumumkan selagi tidak diputuskan oleh SADA bersama pihak bank (yang akan memberi pinjaman),” kata Mukhriz.

Sementara itu, beliau berkata beberapa hari lepas, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar memaklumkan pada sidang media di Dewan Rakyat bahawa sebanyak RM1.7 bilion daripada hutang infrastruktur air Kedah akan dihapus kira dan dianggap sebagai geran daripada kerajaan persekutuan.

“Kerajaan negeri kini dalam proses menulis surat kepada kementerian berkenaan untuk mendapatkan pengesahan mengenai hapus kira hutang tersebut,” katanya yang turut berkata keputusan itu akan meringankan beban kewangan kerajaan negeri.- BERNAMA