Malaysia Dateline

Kedah prihatin tahap kesihatan penduduk terjejas kebakaran kesan tapak pelupusan sampah

Kerajaan Negeri Kedah senantiasa prihatin dan peduli terhadap keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar Semeling ekoran kebakaran kawasan tapak pelupusan sampah di Semeling dekat Bedong sejak 20 Januari yang lalu.

Malah seramai 113 anggota melibatkan pelbgai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta beberapa agensi lagi, telah dan sedang menjalankan kerja-kerja pemadaman api yang telah memasuki hari ke 14.

Demikian dinyatakan oleh Exco Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Iklim dan Perubahan Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min selepas meninjau kerja-kerja pemadaman tersebut bersama-sama dengan pimpinan kerajaan negeri pada Ahad.

Simon Oii Tze Min bersama pimpinan kerajaan negeri Kedah melawat tapak kebakaran semalam

Menurut beliau lagi, sehingga kini lebih daripada 60 peratus kebakaran telah pun berjaya dipadamkan.

“Setakat hari ini lebih daripada 60 peratus kebakaran telah pun berjaya dipadamkan.

“Berdasarkan laporan pihak Bomba kebakaran di Sektor A telah berjaya dipadamkan seratus peratus, manakala bagi sektor B pula masih ada asap dan api sebanyak 20 peratus.

“Untuk sektor C pula masih ada asap dan api sebanyak 10 peratus dan bagi sektor D pula masih ada asap dan api sebanyak 60 peratus, ” tegas beliau.

Katanya lagi, pihak Bomba menghadapi kesukaran kerana kebakaran tersebut bukannya dipermukaan, sebaliknya enam meter ke dalam tapak pelupusan tersebut.

Sejajar dengan itu jelas beliau, mereka terpaksa menggali menggunakan jentera terlebih dahulu sebelum menggunakan jentera bagi kerja-kerja memadamkan api dilakukan.

“Tanah juga diperlukan bagi menambun kawasan kebakaran bagi mengelakkan berlakunya kebakaran semula.

“Sehubungan itu kerjasama antara agensi sedia ada amat diharapkan agar kebakaran yang telah berlarutan sejak 20 Januari yang lalu dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak berasas dan tidak tepat dan elakkan dari mengeruhkan lagi suasana, sedangkan kerajaan negeri amat prihatin dan peduli mengenai kebakaran ini, ”

Hadir sama turun padang bagi meninjau kerja-kerja pemadaman api di tapak pelupusan sampah tersebut ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Sr Tan Kok Yew serta Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina Surip.