Malaysia Dateline

Kedah, Pulau Pinang perlukan pembenihan awan segera

Pembenihan awan perlu disegerakan di Pulau Pinang dan Kedah, kata Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Jelasnya, kapasiti efektif enam empangan utama di Pulau Pinang dan Kedah sangat rendah dan air yang mencukupi amat diperlukan untuk melawan Covid-19.

IR JASENI

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuat permohonan kepada Jabatan Metereologi untuk segera melaksanakan pembenihan awan bagi mencetuskan lebih banyak hujan di Pulau Pinang dan Kedah.

“Permohonan ini perlu dibuat kerana kapasiti efektif enam empangan utama di Pulau Pinang dan Kedah adalah rendah ekoran cuaca yang kering luar biasa sejak separuh kedua tahun 2019.

“Kapasiti efektif peratus tiga empangan di Pulau Pinang pada tarikh 14 April 2020 aitu empangan Air Itam adalah 33.3 peratus, Teluk Bahang 20.9 peratus dan Mengkuang adalah sebanyak 68.3 peratus. Sementara itu bagi tiga lagi empangan di Kedah iaitu Muda sejumlah 4.4 peratus, Beris 39.6 peratus dan Pedu ialah 33.4 peratus, ” ujar beliau.

Selain itu katanya, paras air Sungai Muda turun kepada 1.29m pada 14 April 2020 iaitu dibawah paras kritikal 1.5m dan paras normal bagi Sungai Muda adalah melebihi 2.0m.

Malah tegasnya lagi, empangan Muda dan Beris di Kedah dibina untuk melepaskan air ke Sungai Muda dan ia merupakan sumber air mentah utama kepada Pulau Pinang dan selatan Kedah semasa musim kering.

“Pulau Pinang memohon pembenihan awan disegerakan untuk mengurangkan risiko kurangnya hujan walaupun Jabatan Metereologi menyatakan bahawa kita kini berada dalam musim peralihan monsun dan hujan dijangka berlaku.

“Dengan kehadiran awan hujan sekarang, ia adalah baik untuk menjalankan pembenihan awan bagi mencetuskan hujan sebanyak mungkin kerana potensi kejayaan amat tinggi.

“Hujan diperlukan dengan lebih banyak kini khususnya dikawasa tadahan air enam empangan utama tersebut di Pulau Pinang dan juga Kedah serta Sungai Muda kerana Pulau Pinang dan Kedah mesti mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk melawan Covid-19,” ujarnya.

Menurut Jaseni, seramai 3.95 juta penduduk yang tinggal di Pulau Pinang dan Kedah memerlukan bekalan air yang berterusan setiap hari untuk mengamalkan kebersihan diri yang baik.

Sehubungan itu tambah beliau, adalah diharapkan Jabatan Metereologi akan mengambil tindakan segera terhadap permohonan tersebut demi kepentingan kesihatan dan keselamatan awam.