Kedah sasar pelaburan berimpak tinggi dari China dan negara-negara berminat

Kedah sasar pelaburan berimpak tinggi dari China dan negara-negara berminat

Kedah menyasarkan pelaburan berimpak tinggi dari negara China dan negara-negara yang berminat dalam pelbagai sektor industri.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Jelasnya lagi, Kedah menawarkan peluang-peluang pelaburan bernilai tinggi, menyediakan peluang pekerjaan kepada tenaga tempatan serta menawarkan pemindahan teknologi yang akan memanfaatkan Kedah dan juga negara.

“Antara pelaburan yang menjadi tumpuan ialah Bandaraya Getah di Bukit Ketapang, Padang Terap serta pelaburan dalam sektor aeroangkasa untuk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang dirancangkan sebagai hab kargo udara dan zon industri aeroangkasa di utara Semenanjung.

“Selain itu Kedah turut berminat untuk menarik pelaburan ke Zon Khas Ekonomi Sempadan dan Taman Industri Sains dan Teknologi di Bukit Kayu Hitam, yang merupakan kawasan pertumbuhan baharu.

“Pelaburan China di Kedah sehingga Mac tahun ini adalah sebanyak USD 2.29 bilion berbanding sejumlah USD 1.08 bilion pada tahun 2018, ” ujarnya.

Malah kata beliau lagi, potensi besar Kedah dalam sektor pertanian termasuklah penanaman padi, getah, kelapa sawit, durian, kelapa, tembikai, nenas dan jagung.

Manakala dalam sektor galian pula tegasnya, Kedah mempunyai sumber seperti bijih besi, batu kapur, pasir, kuaza, marmar dan zeolite.

“Walaupun kerajaan Kedah berhasrat untuk merancakkan pertumbuhan sektor industri, ia akan terus mempertahankan dan memulihara khazanah alam yang ada di negeri Kedah.

“Ia bukan sahaja bagi mengekalkan sumber semula jadi tetapi juga sebagai salah satu daya tarikan pelancong.

“Selain Langkawi yang terkenal sebagai pulau peranginan bertaraf dunia, kerajaan Kedah berusaha memperkenalkan Jerai Geopark, tapak warisan tamadun Kedah tua di Lembah Bujang, Gunung Keriang dan pulau-pulau di perairan pesisiran Yan serta seni bina warisan seperti Masjid Zahir, Balai Besar, Balai Nobat dan muzium-muzium,” tambah beliau.