Malaysia Dateline

Kedah sediakan RM10 juta untuk 132 projek

Bagi memastikan keadaan jalan raya yang selamat bagi seluruh negeri Kedah, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi 132 projek kecil.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air & Sumber Air dan Jawatankuasa Tenaga, Datuk Ir Zamri Yusuf.

Katanya lagi, projek kecil tersebut akan dilaksanakan oleh kontraktor G1 secara kerja undi bagi meningkatkan ciri ‘Jalan Selamat’ bagi seluruh negeri Kedah.

“Usaha yang diambil kali ini adalah bagi memastikan kemalangan yang disebabkan oleh masalah jalan raya dapat diminimakan.

“Selain itu antara aktiviti yang turut diberi perhatian ialah mengecat semula garisan jalan serta memasang ‘road stud’.

“Ini termasuk memasang papan tanda serta juga menangkas pokok dibahu jalan, ” ujarnya.

Menurut Zamri lagi, ia turut merangkumi kerja-kerja menyelenggara lampu jalan serta menyelenggara lampu isyarat.

Tegasnya berdasarkan pakar mendapati 80 peratus kemalangan adalah kerana kecuaian pengguna.

Manakala 13 peratus lagi adalah berpunca dari masalah jalan raya serta 7 peratus lagi adalah masalah kenderaan.

Sehubungan itu tegasnya, inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah adalah sebagai salah satu bukti kepedulian terhadap keperluan rakyat dan pengguna jalan raya.

Yang penting tambahnya, keselamatan pengguna jalan raya tetap menjadi keutamaan yang harus diberi perhatian serius.

Melalui program tersebut katanya 16,000 kilometer jalan di Kedah dapat ditingkatkan keselamatannya melalui ciri-ciri ‘Jalan Selamat’.