Malaysia Dateline

Kedah usahakan projek mampu bawa pertumbuhan ekonomi

Kerajaan Negeri Kedah kini sedang rancak untuk mengusahakan pelbagai projek yang mampu untuk membawa pertumbuhan ekonomi kepada negeri dan juga negara.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika melancarkan program Latihan Pakar Industri 4.0 Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) di Wisma Darul Aman semalam.

Tegasnya, Kedah kali ini telah dipilih sebagai lokasi pertama luar Jerman yang telah diberikan peluang bagi melaksanakan program tersebut.

Kata Mukhriz lagi, program sedemikian boleh membantu untuk menambah kemahiran sumber tenaga kerja negeri Kedah dan juga negara.

“Jerman sememangnya telah dikenali sebagai antara negara yang mempunyai industri serta kejuruteraan yang terbaik didunia.

“Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ), Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam, Bandaraya Getah di Padang Terap merupakan antara projek yang mampu membawa pertumbuhan ekonomi.

“Selain itu, projek Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam juga merupakan antara salah satu projek tersebut, ” ujarnya.

Malah kata Mukhriz lagi, kesemua projek tersebut serta pelaburan masa depan memerlukan pekerja berkemahiran tinggi yang dapat mendalami selok belok industri 4.0

Jelasnya, adalah menjadi harapan agar institusi pengajian tinggi serta pihak industri mengambil peluang untuk menambah kemahiran mahasiswa, pensyarah atau tenaga kerja masing-masing.

“Program latihan tersebut akan dikendalikan oleh Pusat Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (KISMEC) dibawah pemantauan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman, The German Chamber of Commerce Abroad (AHK Germany) serta Bosch Rexroth.

“Ia juga mengikut modul, tempoh latihan serta kualiti ditetapkan AHK Germany bagi memastikan objektifnya tercapai.

“Disamping itu, sijil latihan tersebut amat berharga kerana ia turut diiktiraf oleh negara-negara lain, ” tambahnya lagi.

Menurut Mukhriz, latihan tersebut mempunyai kaitan dengan semua bentuk pembuatan.

Manakala itu katanya, Malaysia bertuah menjadi negara pertama yang dipilih bagi memenuhi aspirasi industri 4.0 tersebut.