Malaysia Dateline

Kedai akui silap tak letak patung di tempat selamat, akur bagi semula duit pada pelanggan

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sebelum ini dilaporkan secara tidak sengaja telah memecahkan patung Teletubbies setinggi 1.8 meter yang dipamerkan di sebuah kedai mainan di Hong Kong.

Susulan respon netizen yang mengkritik bayaran ganti rugi dikenakan terhadap ibu bapa kanak-kanak berkenaan, pihak pengurusan kedai telah membayar semula wang pampasan kepada ibu bapa berkenaan.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup, kanak-kanak itu dilihat bersandar sebelum patung jatuh lalu pecah.

Dilaporkan, patung teletubbies berkenaan bernilai HK$50,000 (RM32,919) dan bapa kepada kanak-kanak tersebut telah membayar ganti rugi sebanyak HK$30,000 atau RM19,750.

Menerusi laporan bastillepost, pengurus kedai mengakui silap dan pihaknya telah menyimpan kesemua patung yang tingginya lebih 1 meter, atau mainan yang sebelum ini diletakkan di bawah tanpa sebarang perlindungan ke tempat yang selamat.

Kaizhile International yang merupakan syarikat induk kepada kedai mainan itu memohon maaf kepada keluarga mangsa di atas kesulitan yang berlaku.

Pihaknya juga dilaporkan telah membuat bayaran balik secara penuh kepada keluarga tersebut.

Syarikat itu menegaskan bahawa mereka sangat menghargai pendapat yang diberikan para pelanggan.

Baca juga: Buat keputusan segera sama ada harga siling ayam akan diteruskan atau tidak

Baca juga: AJK Masjid halau sebab tak bawa sejadah dan bawa anak-anak