Kedai Peduli bantu rakyat miskin di Johor

Kedai Peduli bantu rakyat miskin di Johor

Akibat tekanan kos sara hidup yang semakin memuncak, Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Negeri Johor telah mengambil langkah inisiatif dengan mengadakan program ‘Kedai Rakyat’ sebagai bantuan kepada golongan miskin serta kurang berkemampuan.

Menurut Ketua Awan Negeri Johor, Norhayati Bachok, tujuan Kedai Peduli adalah sebagai langkah kebajikan bagi meringankan bebanan rakyat miskin dan kurang berkemampuan dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Menurut beliau lagi, program ini adalah cetusan idea dari pihak Awan yang mendapatkan sumbangan orang ramai sebelum diagihkan secara pukal kepada penerima dari kalangan yang telah dipastikan sebagai golongan miskin.

“Kedai Peduli ini adalah berkonsepkan sumbangan yang diterima oleh pihak kami (Awan) dari orang ramai dan kami membuka kedai yang mana ianya tanpa bayaran untuk penerima dari golongan miskin itu memilih sendiri barangan yang dikhendaki mereka hasil dari sumbangan itu tadi.

“Sumbangan yang kami perolehi adalah berbentuk barangan keperluan kerana pihak kami akui kebanyakkan barangan yang disumbang itu sudah tidak mampu lagi dibeli oleh penerima yang tergolong dari kalangan orang kurang berkemampuan.

“Penerima yang kami sasarkan adalah dari golongan, ibu tunggal, anak yatim, miskin tegar dan juga warga emas yang mana rekod mereka kami perolehi dari penduduk tempatan,” ujar Norhayati Bachok ketika ditemui di program pelancaran Kedai Peduli.

Norhayati turut berkata, program sebegini akan diperluaskan ke beberapa kawasan sasaran lain sebagai langkah atau usaha untuk terus membantu melakukan kebajikan kepada orang ramai.

“Pihak kami telah menjalankan program ini di beberapa tempat di Johor dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penyumbang, penerima serta orang ramai yang turut hadir meraikan program tersebut.

“Pihak kami berbesar hati dengan sambutan yang diberikan kepada program anjuran Awan ini dan ia telah menaikkan semangat kami untuk terus mengadakan aktiviti atau program seperti ini di kawasan lain di Johor,” Norhayati Bachok.

Perasmian Kedai Peduli di Kempas dalam Parlimen Pulai Johor itu telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub serta turut dihadiri oleh Ketua Awan Nasional Dr. Siti Mariah Mahmud, Pengerusi AMANAH Negeri Johor Aminolhuda Hassan dan pimpinan AMANAH Negeri Johor yang lain.

Ketua Kawasan AMANAH Pulai, Suhaizan Kaiat memberi ucapan selaku tuan rumah.

CATEGORIES