Malaysia Dateline

Kedai runcit koperasi ditubuhkan untuk kawal harga barang

Kementerian Wilayah Persekutuan akan menubuhkan kedai runcit koperasi di kawasan perumahan bagi mengawal kenaikan harga barang di Kuala Lumpur, umum menterinya Khalid Abdul Samad.

Untuk tahun ini, lima buat kedai koperasi akan ditubuhkan di lima buah kawasan perumahan dengan modal RM210,000 setiap satu.

“Kementerian dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan menyediakan geran RM180,000 setiap koperasi manakala koperasi berkenaan akan menyedia RM30,000 modal.

“Untuk tahun ini, kita akan tubuhkan lima kedai koperasi di kawasan PPR atau PA di Kuala Lumpur manakala tahun depan lima buah lagi.

“Kita berharap, kedai-kedai runcit milik penduduk melalui koperasi ini dapat mengawal harga barangan keperluan harian,” kata Khalid dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Menteri di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat empat jam antara beliau, Datuk Bandar KL dan pegawai kanan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan semua ahli parlimen di Kuala Lumpur itu dimaklumkan mengenai keputusan beliau bersama SKM hari ini.

Koperasi ini akan ditubuhkan dengan diterajui oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang dibentuk sebelum bagi setiap kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan.