Malaysia Dateline

Kedai serbaneka 24 jam pohon 45 lesen jual arak di 11 Parlimen Wilayah Persekutuan KL

KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) hari ini didapati telah memohon sejumlah 45 lesen menjual minuman keras di serata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Notis permohonan atas nama Chai Kee Kan lengkap dengan nombor MyKad 671116-13-5159 itu disiarkan di akhbar Berita Harian hari ini meliputi tiga halaman.

Permohonan tersebut dikemukakan kepada Pengerusi Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan, d/a Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tingkat 4, 5 dan 9, Menara DBKL 2, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Mengikut maklumat pada notis tersebut, kesemua permohonan KK Super Mart itu dinyatakan bagi lesen menjual minuman keras jenis runcit.

“Sebarang bantahan dari orang ramai hendaklah dikemukakan kepada Lembaga seperti alamat di atas,” dipetik dari notis itu.

Penelitian Malaysia Dateline mendapati permohonan kedai serbaneka 24 jam itu meliputi keseluruhan 11 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Di Parlimen Segambut sahaja, terdapat sekurang-kurangnya lima lokasi premis berkaitan permohonan lesen menjual minuman keras itu.

Permohonan bagi menjual minuman memabukkan itu juga dilihat merangkumi lokasi yang terletak hanya berjarak 1 hingga 4 kilometer (km) antara satu sama lain.

Contohnya, permohonan bagi premis beralamat di No.12A, Jalan 1/47B, Batu 4, Taman Rainbow (Parlimen Batu) dan No.477, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Ipoh, Batu 3, Taman Million (Parlimen Segambut) hanya berjarak 1.7 km.

Premis di Taman Rainbow dengan satu lagi permohonan di premis beralamat 126, Jalan Pahang, Gombak pula hanya berjarak 4.4 km.

Permohonan bagi lesen menjual arak itu turut terdapat di lokasi penempatan majoriti masyarakat Melayu Islam seperti di Taman Koperasi Polis Fasa 2 beralamat di No.28, Jalan 59/10.

Selain itu, pemohon yang sama juga memohon lesen menjual minuman keras di Bandar Sri Permaisuri di Parlimen Bandar Tun Razak.

Untuk rekod, kawasan padat penduduk di tenggara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu mempunyai enam sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz dan Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Orang ramai terutama di kawasan terlibat boleh mengemukakan bantahan kepada DBKL.