Malaysia Dateline

Kedegilan Dong Zong: Hipokrasi yang melangkaui sempadan nasional

Umum tahu Kementerian Pendidikan Malaysia telah beberapa kali mengalah dalam isu pengajaran asas tulisan Jawi akibat desakan dari pihak yang mendukung sekolah vernakular seperti Dong Jiao Zong. Paling akhir kerajaan mengesyorkan hanya 3 mukasurat sahaja untuk mengenali maksud perkataan-perkataan dalam tulisan Jawi yang tertera dalam jata negara, wang kertas dan sebagainya yang sudah sedia lama wujud di Malaysia.

Islamisasi adalah alasan karut yang diberikan oleh Dong Jiao Zong untuk menolak pembelajaran asas tulisan Jawi ini. Sedangkan mereka yang Bukan Islam lebih mudah memahami Islam melalui tulisan rumi termasuk merujuk banyak bahan dakwah dalam Bahasa Inggeris di media sosial. Tulisan Jawi tidak pernah menjadi faktor mengIslamkan sesiapa di negara ini kerana agama merupakan hak serta pilihan individu.

Anehnya pihak yang berada di sebalik tabir Dong Jiao Zong merupakan kelompok peniaga yang tanpa segan silu turut menjual produk-produk yang mempunyai logo halal dalam tulisan Jawi malah ada yang menyelitkan tulisan Jawi pada papan tanda premis perniagaan mereka supaya mendapat keyakinan pelanggan Muslim.

Tidakkah mereka tahu bahawa para pengguna di negara China juga mempercayai piawai halal dari JAKIM tidak kira Muslim atau tidak kerana di negara tersebut terlampau banyak produk tiruan serta campuran bahan yang berbahaya? Maka di situ terletaknya nilai tulisan Jawi di peringkat antarabangsa yang bukan sahaja dikenali malah dihormati.

Ada di antara mereka yang mempertahankan sekolah vernakular turut sama menyokong tindakan rusuhan di Hong Kong atas dasar hak asasi manusia. Namun tidakkah mereka tahu rusuhan di Hong Kong itu juga terkait dasar pro bahasa Mandarin oleh Beijing? Sedangkan bahasa itulah yang hendak diangkat oleh sekolah vernakular jenis kaum tertentu itu di negara ini. Ironik sekali.

Begitu juga dengan penindasan terhadap etnik Uyghur di wilayah Xinjiang. Selain faktor perbezaan kaum dan budaya, perbezaan bahasa juga merupakan asas kepada tindakan Beijing untuk “me-Mandarin-kan” penduduk di wilayah tersebut. Maka pada pandangan kami Melayu-Islam, Bahasa Mandarin telah jatuh ke tahap bahasa penjajah untuk meluaskan hegemoni terhadap pihak lain.

Maka oleh yang demikian, penggunaan Bahasa Mandarin atau mana-mana bahasa selain Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris (yang universal) dalam negara ini sebagai bahasa pengantar di sekolah adalah berrtentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang kelak memunculkan perbandingan antara sistem sekolah kebangsaan dengan sistem sekolah vernakular.

Penetapan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di negara ini, sepertimana negara Indonesia menggunakan Bahasa Melayu sebagai asas Bahasa Kebangsaan negara mereka adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memudahkan komunikasi, persefahaman serta penyatuan pelbagai etnik dalam negara majmuk.

Tulisan Jawi adalah sebahagian dari evolusi Bahasa Melayu di Nusantara ini. Ia merupakan jenis tulisan, bukan agama atau bahasa yang lain. Walaupun aplikasi hariannya mungkin terhad pada zaman sekarang namun ia penting untuk memahami elemen-elemen sejarah di negara ini. Salah satu objektif pendidikan nasional ialah pengukuhan subjek sejarah agar generasi masa depan tidak jahil tentang asal-usul negara mereka.

Namun oleh kerana Dong Jiao Zong mengisytiharkan 900 lebih buah sekolah vernakular di bawah mereka menolak pembelajaran asas tulisan Jawi, ia bagaikan penentangan terbuka terhadap dasar kerajaan yang berdaulat dan dipilih majoriti rakyat!

Oleh itu saya mengesyorkan agar kerajaan mempertimbangkan segala pembiayaan untuk kos operasi serta guru-guru di sekolah vernakular bawah Dong Jiao Zong dikaji semula. Keutamaan perlu dikembalikan bagi memperkasakan sekolah kebangsaan dan lulusan sekolah kebangsaaan.

Saya juga mencadangkan agar satu resolusi tegas dikeluarkan bersama oleh semua pihak yang berpengaruh di negara ini tanpa mengambil kira latar-belakang parti politik, NGO atau orang perseorangan untuk dibawa ke Majlis Raja-Raja Melayu atau istana negara agar Dong Jiao Zong dapat diharamkan demi masa depan penyatuan nasional melalui satu sistem pendidikan.

Sokongan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam isu Jawi tersebut merupakan satu isyarat serta inspirasi untuk semua rakyat Malaysia  bersatu  mempertahankan tulisan warisan tanah air itu.