Kerajaan memutuskan cukai taksiran harta bagi kategori kediaman rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang siap selepas 2014, akan diberi pengurangan 25 peratus bermula penggal kedua tahun ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan cukai taksiran itu akan memberi manfaat kepada 25,677 pemilik rumah mampu milik, membabitkan pengurangan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM2.07 juta setahun.
“Selepas mendengar keluhan rakyat di peringkat bawahan yang meminta diberikan pengurangan, saya bersetuju memberi pengurangan ini untuk pemilik rumah mampu milik,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Mesra Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perasmian tempat letak kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong di ibu negara, hari ini.
Disember tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan semua kediaman berharga di bawah RM300,000 sekitar Putrajaya diberikan potongan cukai taksiran 30 peratus daripada jumlah yang dikenakan bermula 1 Januari lalu.