Kediaman Perumahan Bandar DBKL dibuka untuk pendaftaran Ogos ini

Kediaman Perumahan Bandar DBKL dibuka untuk pendaftaran Ogos ini
Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan menunjukkan keselesaan bagi sebuah unit perumahan bandar dengan kadar sewa berpatutan di Kuala Lumpur.

Golongan muda yang berminat untuk menyewa Perumahan Bandar di premis 54 dan 56 Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), boleh mendaftar pada Ogos depan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya akan mengumumkan tarikh pendaftaran sebaik sahaja memasuki bulan Ogos nanti.

Beliau berkata, penginapan di tengah bandaraya yang berkeluasan tujuh meter persegi setiap unit itu, disasarkan kepada golongan anak muda warganegara Malaysia berumur 18 hingga 35 tahun.

Katanya, Perumahan Bandar itu disewakan khusus kepada penyewa yang belum berkahwin dengan harga serendah RM100 sebulan termasuk caj penggunaan elektrik dan air.

“Ia dibina bagi membantu golongan muda yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan. Sesiapa boleh menyewa tanpa mengira kaum.

“Kami juga memberi keutamaan kepada penyewa berasal dari luar Kuala Lumpur yang bekerja atau tinggal di bandaraya ini untuk menyewa di kediaman yang lengkap dengan sebuah katil dan almari.

“Tempoh penyewaan pula adalah minimum setahun, manakala setahun enam bulan bagi tempoh maksimum sewaan,” katanya pada sidang media pengenalan unit contoh Perumahan Bandar, di Premis 54 & 56, Jalan TAR.

Datuk Noor Hisham melihat maklumat berkaitan Perumahan Bandar yang menawarkan sewaan kepada golongan muda  tidak berkahwin dengan kadar sewa serendah RM100 sebulan.

Dalam perkembangan sama, Nor Hisham berkata, kategori sewaan adalah mengikut bilangan katil yang disediakan di setiap bilik mengikut tingkat.

“Di setiap bilik sewaan, ada empat atau enam katil yang kami sediakan kepada penyewa.

“Pihak DBKL juga sedang mengubah suai bahagian dalam dua blok bangunan sedia ada untuk menempatkan kediaman lelaki dan perempuan di blok berasingan.

“Projek ini akan dibahagikan kepada dua fasa. Fasa satu ialah dari aras bawah sehingga tingkat empat, manakala fasa dua dari tingkat lima hingga tujuh dan juga ke bahagian paling atas (roof top).

“Kerja pengubah suaian telah dijalankan dan fasa satu dijangka akan siap pada penghujung tahun ini, manakala fasa dua pada suku pertama tahun hadapan.

Untuk fasa satu, anggaran jumlah penempatan adalah seramai 188 penyewa, dan fasa dua pula dianggarkan seramai 135 penyewa,” katanya.