Kedudukan Bahasa Melayu dan perpaduan kaum tonggak kajian UEC

Kedudukan Bahasa Melayu dan perpaduan kaum tonggak kajian UEC

Maszlee Malik

Pemartabatan Bahasa Melayu dan isu perpaduan serta keharmonian antara kaum merupakan dua tonggak utama yang diambil kira dalam kajian berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu pengiktirafan UEC dijadikan isu politik oleh mana-mana pihak, justeru sebarang keputusan yang dibuat hendaklah bersifat rasional dengan mengambil kira dua tonggak utama itu.

“Kajian holistik yang telah dibuat berkaitan UEC mempunyai dua komponen utama iaitu kajian dalaman yang dilakukan oleh kementerian sendiri serta proses pengumpulan input dan maklumat oleh pelbagai sumber menerusi pasukan khas yang terdiri daripada kalangan pihak terlibat dengan UEC.

“Pasukan khas ini diketuai Dr Eddin Khoo, iaitu anak kepada Prof Dr Khoo Kay Kim dan dibantu Presiden ABIM Mohamad Raimi Abdul Rahim serta Timbalan Presiden Dong Zhong Tan Yew Sing, akan mengumpulkan maklumat, pandangan serta proses libat urus dengan pihak yang pro dan kritikal terhadap UEC,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang ingin tahu perkembangan terkini kajian holistik yang telah dibuat berkaitan dengan UEC serta apakah perkara utama yang dipertimbangkan dalam kajian terbabit.

Maszlee berkata pandangan dan maklumat berkaitan UEC penting kerana pengumpulan fakta perlu dibuat secara rasional dan tidak prejudis.

“Sebarang keputusan bukan sahaja perlu dibuat berdasarkan kajian secara menyeluruh bahkan perlu didahului dengan perbincangan yang sihat di ruang awam berdasarkan fakta yang dikumpulkan secara objektif, rasional, bebas dan lengkap oleh pasukan khas yang dilantik.

“Hal ini penting agar tidak ada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab boleh mempolitikkan isu pendidikan dengan maklumat tidak tepat berikutan tiada proses libat urus daripada semua pihak secara terbuka dan rasional tanpa emosional,” katanya.

Maszlee turut menegaskan bahawa kementerian meletakkan proses konsultasi dengan semua pihak agar keputusan yang dibuat berkaitan UEC adalah berdasarkan peringkat bawahan ke peringkat atasan.

Kajian yang dibuat jawatankuasa berkenaan akan diserahkan kepada kementerian sebelum ia dibawa ke peringkat Kabinet untuk diputuskan, katanya.-Bernama.

COMMENTS

Wordpress (0)