Kedudukan istimewa Melayu, Bumiputera tidak boleh digugat dalam Perlembagaan

Kedudukan istimewa Melayu, Bumiputera tidak boleh digugat dalam Perlembagaan

Kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya ada pihak yang mempertikaikan kedudukan istimewa orang Melayu ia lebih kepada ketidakpuasan hati terhadap hak istimewa yang diberikan kepada orang Melayu dan bumiputera tetapi gagal dicapai menerusi dasar-dasar khusus yang dibuat oleh kerajaan untuk membantu kemajuan orang Melayu dan bumiputera terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

“Ramai yang salah tanggapan berkaitan ‘kedudukan istimewa orang Melayu’ dalam perlembagaan dengan ‘hak istimewa orang Melayu’.

“Dalam perlembagaan disebut “kedudukan istimewa orang Melayu” yang tidak menjadi satu ‘hak’. Terdapat ‘Hak’ yang dilindungi dalam perlembagaan dan ada dalam akta lain.Hak sivil, hak politik, hak beragama dan semua sekali hak yang sepatutnya diperoleh seorang manusia.

” Itu yang kita katakan sebagai seorang warganegara mereka ada hak. Ini kerana ia dilindungi dalam perlembagaan dan akta-akta lain. Ada juga hak yang tidak diberikan dalam perlembagaan seperti hak pekerja, ia ada dalam Akta Pekerja.

“Kita kena betulkan dulu dari segi pemikiran. Ini kerana hak kewarganegaraan berbeza dengan kedudukan istimewa orang Melayu yang ditetapkan dalam perlembagaan,” ujar Peguam Dr Zulqarnain Lukman.

Dr Zulqarnain Lukman

Dr Zulqarnain ditemubual oleh moderator Mohd Helmi Redzuan dalam slot Media Oren yang membincangkan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera yang sering menjadi pertikaian beberapa pihak yang bimbang sekiranya Pakatan Harapan memerintah kedudukan istimewa ini akan dilupuskan kelak bagi memberi kesamarataan antara kaum di negara ini.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan bumputera yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan itu, Dr Zulqarnain berkata, pertikaian kaum bukan Melayu terhadap kedudukan istimewa  itu disebabkan kegagalan dasar-dasar kerajaan yang diperkenalkan khusus untuk orang Melayu.

Beliau mengulas dalam tempoh 60 tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah telah diberkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan terkini Tranformasi Nasional 2050 (TN50) tetapi soalnya sejauhmana kejayaan dasar-dasar itu membantu orang Melayu berbanding kaum-kaum lain.

“Ini yang menimbulkan perasaan tidak puashati bangsa lain. Kalau dibantu orang Melayu sekiranya dapat mengubah purata kedudukan orang Melayu berjaya ditingkatkan, saya tidak fikir bangsa lain akan pertikaikan.

“Ketika Suruhanjaya Reid mengubal perlembagaan, ketika itu kedudukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak lebih rendah berbanding bangsa lain. Suruhanjaya Reid mencadangkan wujudkan satu peruntukan khas bagi membantu orang Melayu dan Bumiputera yang kini termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Terdapat tiga perkara diberikan ‘kedudukan istimewa’ itu iaitu perjawatan dalam Perkhidmatan awam melalui kuota khusus, biasiswa dan bantuan pelajaran dan permit perniagaan kepada orang Melayu dan bumuputera.

“DEB menyasarkan 30 peratus pencapaian ekonomi orang Melayu tetapi mengikut laporan ia tidak tercapai, begitu juga dengan Wawasan 2020 kenapa ia masih dilihat gagal mengubah nasib orang Melayu?

“Jika dilihat dari kedudukan istimewa orang Melayu dalam perkhidmatan awam majoriti orang Melayu dan ada kuota perjawatan dibuka kepada bukan Melayu tetapi mereka tidak berminat. Manakala biasiswa sudah ada PTPTN (Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara) yang diberikan sama rata kepada semua bangsa. Manakala biasiswa satu keistimewaaan  tetapi sudah disub kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti biasiswa Petronas.

“Tetapi biasiswa daripada kerajaan kita tidak pasti berapa banyak jumlahnya diberikan kepada orang Melayu. Kalau dalam perniagaan permit AP kereta kepada usahawan Melayu bumiputera, dan Proton yang diwujudkan sistem vendor tetapi sekarang Proton bermasalah.

“Ini menunjukkan walaupun sesuatu dasar dibuat kerajaan itu bagus tetapi menghadapi kepincangan dalam pelaksanaannya kerana ada ketirian, salah guna kuasa dan nepotisme,” ujarnya.

Justeru katanya lagi, jika ada pihak yang berpandangan ‘kedudukan istimewa orang Melayu’ itu akan dipinda dalam perlembagaan jika Pakatan Harapan memerintah kelak,mustahil dapat dilaksanakan kerana kuasa yang menentukan pindaan perlembagaan itu adalah kuasa Yang Dipertuan Agong bukannya kuasa ahli parlimen.

“Kedudukan istimewa orang Melayu yang ada dalam Perkara 153 bukan senang dipinda.

“Kita nak dapatkan 2/3 untuk meminda Perkara 153 pada ‘kedudukan istimewa orang Melayu’ sedangkan orang Melayu dalam Umno mempunyai 88 ahli parlimen, Pakatan Harapan separuh ahli parlimennya adalah Melayu berbanding bukan Melayu.

“Saya tidak fikir ada masalah dengan Perkara 153 yang jadi masalah apabila kita menafikan hak bangsa lain yang sepatutnya mereka dapat,” ujarnya.

Justeru beliau berpandangan Pakatan Harapan harus memperjuangkan ‘hak keistimewaan’ khusus kepada rakyat yang susah berbanding menyentuh isu berkaitan ‘kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera’yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Slot penuh bual bicara itu boleh diikuti di fb Parti Amanah Negara

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0