Malaysia Dateline

Kedudukan Jawi antara perundangan, budaya dan agama

Sehingga kini, polemik tulisan jawi masih belum reda. Dong Jiao Zong masih lagi belum dapat menerima cadangan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan pelajaran tulisan jawi di sekolah-sekolah termasuk di sekolah rendah jenis kebangsaan cina.

Manakala, satu pihak yang pro jawi pula tetap bertegas untuk melaksanakan pengajaran tulisan jawi. Mujurlah, pihak polis telah berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang Dong Jiao Zong daripada meneruskan kongres jawi baru-baru ini.

Jika tidak pastinya polemik jawi akan bertambah panas kerana pihak yang pro jawi telah mengancam untuk mengadakan perhimpunan balas di tempat yang sama.

Meskipun, Timbalan Menteri, YB Hanipa Maidin menyatakan pendapatnya bahawa pihak polis tidak sepatutnya mendapatkan injunksi Mahkamah tersebut atas dasar prinsip kebebasan bersuara tetapi setiap bentuk kebebasan bersuara itu adalah tertakluk kepada sekatan sekiranya ia mungkin akan mengganggu ketenteraman awam.

Langkah polis mengambil injunksi Mahkamah itu sebenarnya adalah mengikut lunas undang-undang dan bukanlah satu tindakan yang berbentuk unilateral tanpa kawal selia Mahkamah.

Artikel 152(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen”.

Setakat ini yang jelas undang-undang Parlimen itu adalah merujuk kepada seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) yang menyatakan, “Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.”

Sejarah menunjukkan bahawa tulisan jawi adalah tulisan asal Bahasa Melayu. Namun selepas merdeka tulisan jawi itu telah ditukarkan kepada tulisan rumi. Alasan untuk menukarkan tulisan jawi kepada tulisan rumi adalah mudah difahami.

Ianya untuk memberikan akses yang lebih luas kepada Bahasa Melayu supaya orang ramai lebih mudah. Ini kerana tulisan rumi atau roman telah digunakan secara meluas di seluruh dunia berbanding tulisan jawi.

Namun, hasrat murni itu tidak menjadi kenyataan. Apa yang berlaku setelah puluhan tahun tulisan rumi berada di arus perdana, tulisan jawi semakin terpinggir dan tidak mendapat tempat.

Ramai orang Melayu sendiri sudah tidak mahir lagi menulis jawi. Malah bukan setakat menulis jawi, untuk membaca tulisan jawi pun sudah merangkak-rangkak kerana terpaksa mengeja setiap huruf. Begitu juga dengan tulisan rumi, prestasi penggunaan Bahasa Melayu tidaklah begitu membanggakan berbanding dengan penggunaan Bahasa Inggeris.

Ini telah menjadikan tulisan jawi semakin terpinggir apabila ianya tidak digunakan oleh orang ramai. Akibatnya, tulisan jawi sudah hilang nilai komersial. Tulisan yang hilang nilai komersial akan pupus ditelan zaman.

Buktinya, akhbar yang ditulis dalam tulisan jawi pun sudah tidak wujud lagi di Malaysia. Malah, sesetengah akhbar yang menjadikan jawi sebagai sisipan juga tidak lagi mengeluarkan sisipan itu kerana hilang nilai komersialnya.

Justeru, tulisan jawi memerlukan nilai tambah untuk menjadikan ia satu produk yang berdaya maju dan dihargai ramai. Langkah Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan pembelajaran tulisan jawi di sekolah rendah termasuklah di sekolah vernakular telah memberikan dimensi baharu bagi tulisan jawi.

Tambahan lagi, apabila isu ini dipolemikkan oleh ramai orang maka ianya memberikan publisiti dan ruang bagi masyarakat memberikan pendapat masing-masing termasuk Tuanku Permaisuri Agong yang giat menulis twitter dalam tulisan jawi.

Semua orang tahu bahawa tidak mungkin seseorang itu akan pandai tulisan jawi dengan hanya belajar tiga mukasurat sahaja. Oleh itu, kenapakah perlu dikhuatirkan sangat dengan pelajaran tulisan jawi setakat tiga mukasurat?

Hasrat Kementerian Pendidikan untuk membawa perhatian ramai kepada tulisan jawi ini adalah langkah yang sangat positif kerana hala tuju yang dibawa adalah untuk orang ramai mengenali semula budaya dan warisan negara. Tulisan jawi sebenarnya adalah warisan negara yang kedudukannya semakin pudar.

Walau bagaimanapun, sesetengah orang melihatnya dari aspek yang berbeza. Bagi Dong Jiao Zong, mereka menganggap bahawa pengenalan tulisan jawi ini adalah sebahagian daripada proses untuk Islamisasi.

Bagi sesetengah orang Islam pula menganggap bahawa tulisan jawi ini adalah berasal daripada tulisan arab dan tulisan arab adalah tulisan Al-Quran maka ianya adalah adalah kaitan dengan agama Islam.

Inilah punca masalah sebenar yang perlu dirungkaikan oleh pihak kerajaan. Orang bukan Islam perlu diyakinkan bahawa langkah Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan subjek tulisan jawi adalah tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk memastikan tulisan jawi kekal sebagai warisan negara.

Bagi orang Islam pula, tiada salahnya untuk menganggap tulisan jawi itu lebih dekat dengan Al-Quran semata-mata kerana sebahagian besar abjad jawi itu berasal daripada abjad arab.

Namun, untuk mengaitkan tulisan jawi itu sebagai akidah umat Islam adalah sangat jauh tersasar. Pokok akidah umat Islam adalah kepercayaan kepada Allah yang Maha Esa dan kepercayaan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruhnya.

Tulisan jawi yang ingin diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan ini langsung tidak menyentuh tentang kepercayaan kepada Allah dan percaya kepada nabi.

Tulisan jawi yang ingin diperkenalkan ini hanya ingin membawa para pelajar menghargai tulisan yang pernah berada di era kegemilangan suatu ketika dahulu seperti tulisan jawi yang tertera di Jata Negara (Bersekutu Bertambah Mutu) dan di wang kertas (Bank Negara Malaysia dan Ringgit Malaysia).

Sesungguhnya tulisan jawi ini adalah sesuatu yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi bagi rakyat Malaysia. Marilah kita semua rakyat Malaysia berbangga dengan warisan negara yang tidak ternilai ini.