Malaysia Dateline

Kedudukan Najib setelah disabit bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Rayuan

Soalan 1: Adakah Najib Razak telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan?

Perkara 48 (4) (b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tarikh mula kuat kuasa kehilangan kelayakan bagi Najib Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan adalah sehingga Mahkamah tertinggi membuat keputusan akhir (di dalam kes ini semestinyalah Mahkamah Persekutuan).

Justeru, beliau masih boleh menghadiri sesi Dewan Rakyat, berbahas dan mengundi apa jua usul dan lain-lain.

Soalan 2: Adakah kerusi Parlimen Pekan telah kosong sehingga perlu diadakan PRK?

Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kerusi Parlimen Pekan tidak akan secara automatiknya menjadi kosong dalam keadaan Najib Razak memfailkan rayuan ke mahkamah atasan.

Ianya hanya akan menjadi kosong secara automatik jika Najib Razak tidak membuat apa-apa rayuan ke mahkamah atasan.

Kekosongan hanya akan berlaku secara automatik selepas Mahkamah Persekutuan selaku forum terakhir mahkamah undang-undang mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi.

Soalan 3: Sekiranya PRU dijalankan dalam masa terdekat atau sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan diberikan, adakah Najib Razak boleh menjadi calon bagi Parlimen Pekan?

Bagi tujuan pencalonan ke kerusi Dewan Rakyat, Perkara 48 (5) menyatakan bahawa sabitan adalah berkuatkuasa serta merta.

Maknanya sabitan Mahkamah Tinggi dan Keputusan Rayuan pagi ini berkuatkuasa serta merta untuk tidak melayakkan Najib dicalonkan sebagai calon BN bagi Parlimen Pekan.

Dengan kata lain, Najib tidak boleh dicalonkanlah, yakni beliau telah hilang kelayakan untuk pencalonan. Jika dicalonkan juga, ia adalah jelas sangat bercanggah dengan Perlembagaan dan menjadikannya sebagai terbatal.


Penulis merupakan Peguambela & Peguamcara

Penulis juga merupakan Timbalan Ketua Negeri PEJUANG Wilayah Persekutuan.