Kedudukan Zahid akan ditentukan lepas mesyuarat J/K Pengurusan parti, kata Mohamad

Kedudukan Zahid akan ditentukan lepas mesyuarat  J/K Pengurusan parti, kata Mohamad

Umno akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan untuk memutuskan sama ada presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bercuti sementara selepas didakwa di mahkamah, hari ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta,  berkata cadangan daripada Jawatankuasa Pengurusan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

“Sudah menjadi Prosedur Operasi Standard (SOP) parti apabila ada ahli yang berjawatan tinggi perlu mengambil cuti bekerja sekiranya mereka didakwa di mahkamah.

“Tetapi, beliau boleh kembali menjawat jawatan sekiranya dibuktikan tidak bersalah.

”SOP berkenaan diwartakan pada 2009 di mana pemimpin akan digantung daripada berkhidmat sekiranya didakwa,” katanya seperti dilapor BHonline.

Mohamad berkata, mesyuarat berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Kita mahu melindungi parti, kita tidak mahu pihak lain menuduh kita kerana tidak mengikut SOP,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan mahkamah akan menjalankan tanggungjawab tanpa sebarang prejudis.

“Saya berharap ahli UMNO terus bertenang dan pendakwaan hari ini berjalan dengan lancar.

“Usaha untuk memusnahkan UMNO dengan menjatuhkan pemimpin atasan tidak akan melemahkan kita, malah akan menguatkan lagi parti.

“Kita akan terus berjuang untuk agenda demi bangsa dan agama,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah dan mohon bicara di Mahkamah Sesyen di sini, atas 45 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.