Malaysia Dateline

Kedudukan Zahid tergugat jika pemilihan Umno sebelum PRU15

Keputusan sama ada mahu mengadakan pemilihan Umno dalam masa terdekat atau tidak ia sudah tentu terletak di tangan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun beliau terpalit dengan kes rasuah dan penyelewengan namun beliau dilihat masih berjaya menguasai akar umbi Umno.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berkata, kuasa untuk menentukan pemilihan Umno akan bergantung kepada presiden Parti walaupun ada desakan mana-mana pihak untuk mengadakan pemilihan sebelum PRU15.

Mazlan percaya Zahid tidak akan membenarkan pemilihan berlaku sebelum PRU15 kerana Zahid dan gandingannya Najib Tun Razak sedang menguasai akar umbi Umno ketika ini.

Sekiranya berlaku pemilihan sekarang, menurut Mazlan ia sudah tentu akan menggugat kedudukan Zahid dan Najib.

“Mungkin akan ditangguhkan pemilihan ini sehingga selepas PRU-15,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Bagaimanapun, bagi Mazlan sekiranya berlaku penggantian presiden Umno ekoran Zahid dipenjarakan pemilihan boleh dilakukan sebelum PRU15.

“Jika Zahid atau Najib dipenjarakan akan berlaku penyesuaian kepimpinan ini, di mana Zahid dan Najib akan berunding sesuatu dengan Tengku Razaliegh kerana Ku Li ini dianggap konsistan dengan pendirian Umno.

“Ku Li dilihat tegas tidak mahu bersama Perikatan Nasional dan mungkin dirancang lebih awal supaya Ku Li dapat ambil alih tampuk pimpinan.

“Bagaimanapun kumpulan yang menentang ini akan melakukan usaha untuk ambil alih tampuk pimpinan, dari seniority Ku Li memang mempunyai kelayakan yang cukup menjadi presiden,” katanya.

Hari ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno boleh memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti tahun ini atau menangguhkannya,

Tempoh matang bagi kepimpinan Umno sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021.

Pemilihan Umno 2021 sepatutnya diadakan tahun ini, namun terus menjadi tanda tanya apabila terdapat dua pandangan dalam kalangan kepimpinan parti yang mahu ia ditangguhkan dan yang menggesa dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada Februari lepas, Zahid Hamdi memberi jaminan pemilihan parti itu akan tetap diadakan tahun ini namun beliau tidak menetapkan tarikh pemilihan parti akan berlangsung.