Malaysia Dateline

Kedutaan buat persiapan rapi untuk bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan

 Kedutaan Malaysia di China kini dalam persiapan akhir mengumpulkan semua rakyat Malaysia di Wuhan yang telah dikenal pasti untuk dibawa pulang ke tanah air hari ini, susulan penularan wabak Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV) di China.

Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata pasukan sekretariat yang ditubuhkan bagi misi itu sedang melakukan persediaan dan prosedur perlu bagi memastikan urusan logistik terutamanya penyelarasan di Lapangan Terbang Tianhe, Wuhan, berjalan lancar.

“Kita sudah maklumkan kepada mereka supaya berkumpul di satu tempat dan seterusnya akan dibawa dengan kenderaan yang disediakan khas untuk bergerak ke Lapangan Terbang Tianhe, Wuhan hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, beliau berkata senarai muktamad nama 141 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 117 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak-anak mereka telah diserahkan kepada kerajaan China, semalam.

Nushirwan juga bersyukur kerana urusan logistik berjalan dengan baik dan ia hasil perbincangan melalui panggilan telefon antara Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Luar  China, Wang Yi, pada Sabtu lepas.

“Sepertimana diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) semalam, penerbangan yang akan membawa rakyat Malaysia di Wuhan, tiba (di Wuhan) pada hari ini. Namun, menjadi lumrah dalam situasi rumit seperti ini akan terdapat kelewatan penerbangan tidak mengikut jadual asal.

“Kami juga sentiasa berhubung dan mengemas kini maklumat untuk disampaikan kepada rakyat Malaysia di Wuhan,” katanya.

Nushirwan berkata beliau juga telah menghantar satu mesej ringkas kepada rakyat Malaysia itu dalam aplikasi wechat, dan ia lebih kepada kata-kata perangsang dan nasihat kepada mereka serta prosedur yang perlu dipatuhi bagi proses berkenaan.

Tanpa mendedahkan butir penerbangan pulang ke tanah air, beliau berkata ia akan diumumkan oleh Putrajaya, kelak.

Semalam, Dr Wan Azizah mengumumkan misi membawa pulang rakyat Malaysia seramai 132 orang, yang terdiri daripada 108 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak mereka dengan penerbangan khas dari Wuhan, dijadual hari ini.

Misi itu akan disertai lapan orang iaitu enam pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan seorang pegawai Kementerian Luar.

Pesawat AirAsia dengan 12 krew akan digunakan bagi misi itu.– BERNAMA