Keengganan Myanmar iktiraf laporan PBB ditempelak

Keengganan Myanmar iktiraf laporan PBB ditempelak

Pertubuhan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menganggap keengganan Myanmar mengiktiraf laporan siasatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung keganasan pegawai atasan tentera negara itu ke atas etnik Rohingya sebagai berat sebelah dan tidak adil buat mangsa dan keluarga mangsa.

Pengerusi pertubuhan itu, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, Serantau Muslim yakin perbuatan jahat yang berskala besar itu tidak dapat disembunyikan daripada komuniti dunia.

Walaupun katanya, jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay menyatakan dengan tegas tidak akan menerima sebarang resolusi yang dilakukan Majlis PBB dan mendakwa semua resolusi berkenaan adalah dakwaan palsu buat kerajaan Myanmar.

“Serantau Muslim merasakan Myanmar seolah-olah takut dengan gesaan PBB dan komuniti antarabangsa lain kerana sudah terang lagi nyata pihak dunia mempunyai bukti kukuh kuat untuk mendakwa tentera atasan kerajaan Myanmar melalui rakaman video, media-media mahupun pengakuan sendiri daripada mangsa yang terbabit.

“Serantau Muslim turut merasakan Myanmar ingin menyembunyikan jenayah yang dilakukan dan bukti lain dengan tidak membenarkan penyiasat PBB memasuki negara tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu kata Raja Iskandar, Serantau Muslim menyeru semua wakil dunia meneruskan lagi usaha untuk membantu etnik paling teraniaya di dunia itu bagi mendapat keadilan sewajarnya walaupun ia agak sukar dilakukan kerana sikap kerajaan Myanmar yang tidak memberikan komitmen yang sepatutnya.

“Serantau Muslim percaya suatu masa nanti kerajaan Myanmar akan mengalami keletihan emosi dan sukar untuk menepis segala dakwaan daripada komuniti dunia terhadap apa yang dilakukan terhadap minoriti muslim di sana walaupun banyak helah diberikan mereka,” kata beliau.