Malaysia Dateline

Kegagalan pengurusan COVID-19 merimaskan kehidupan rakyat

Sehingga kini, persoalan perkaitan dengan kaedah pengurusan Covid-19 tidak banyak memberi impak terhadap jumlah pengurangan kes-kes baru. Pertambahan kes jangkitan baru dalam situasi rakyat masih berada dalam sekatan pergerakan tentunya amat merimas dan merisaukan, seolah-olah pendekatan penghadan pergerakan yang dikenakan terhadap rakyat, tidak mempunyai kesan yang signifikan dalam usaha membendung penularan Covid-19 dalam masyarakat.

Gambaran yang wujud, Covid-19 telah pun berada berdampingan dalam masyarakat, memberi makna untuk kemungkinan sesiapa sahaja mempunyai potensi terkena jangkitan, sekiranya lalai dalam aspek pematuhan terhadap Tatacara Pengendalian Piawai (TPP), sedangkan pada masa yang sama kerajaan telah mengumumkan perbelanjaan sejumlah RM512.5 bilion untuk mengurus segala perkara berkait dengan usaha untuk melawan penularan Covid-19.

Sungguh pun begitu kes-kes baru, sehingga 25 Julai 2021 telah meningkat kepada 17,045 kes dengan angka keseluruhan kes sebanyak 1,013,438 dan angka kematian sebanyak 7,994. Nampaknya dalam situasi ini, perbelanjaan tinggi kerajaan tidak mempunyai nilai yang signifikan dalam menurunkan jumlah kes Covid-19. Ini bermakna tidak terdapat perkaitan yang signifikan di antara peruntukan kewangan yang besar dengan usaha untuk mengurangkan kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.

Sebaliknya pula, rakyat terpaksa menghabiskan hampir 482 hari berkurung di rumah, bermula daripada 18 Mac 2020 sehingga 14 Julai 2021, satu jangka masa yang amat panjang untuk rakyat “mengurung dan mengasingkan diri” daripada aktiviti-aktiviti sosial. Keadaan ini telah meletakkan rakyat dalam keadaan tertekan dengan hanya melakukan segala aktiviti yang terbatas dan terhad, merentas daerah terhalang, apa lagi untuk merentas negeri. Paling jauh pun, rakyat hanya boleh bergerak sekitar 10 kilometer radius daripada kediaman.

Tindakan-tindakan pihak berkuasa dalam meredakan penularan Covid-19, seolah-olah tidak mempunyai penyelarasan yang berkesan, khususnya di antara agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam pengurusan Covid-19. Terdapat gambaran wujudnya konflik kepentingan di antara sektor, sektor kesihatan dengan sektor ekonomi, wujud pergelutan yang akhirnya memihak kepada sektor ekonomi.

Kebenaran untuk sektor industri dan pembinaaan bergiat aktif dalam situasi rakyat dikenakan PKP 3.0, merupakan sesuatu yang mencurigakan. Akibatnya, hampir 11,939 syarikat di bawah sektor pembinaan dibenarkan beroperasi. Secara keseluruhannya syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 3.0 berjumlah 128,180 buah dengan pergerakan pekerja seramai 1.57 juta.

Usaha mengatasi penularan Covid-19, seolah-olah tidak mendasari kepada akar masalah yang sebenar, menggali punca sebenar yang mencetuskan penularan dalam komuniti. Sebagaimana dilaporkan bahawa 91 peratus kluster Covid-19 terbina daripada tempat kerja, 80 peratus di sektor perkilangan dan 11 peratus di sektor pembinaan. Ini bermakna kedua-dua sektor ini merupakan antara akar kepada punca masalah penularan covid-19. Namun, perkara ini telah dinafikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sungguh pun begitu, penafian tersebut hanyalah satu hakikat penafian sebagai helah bela diri dan tentunya tidak bersifat mutlak, memandangkan Menteri sendiri dalam penafiannya, tidak pernah mengeluarkan data rasmi, hasil kajian daripada kementeriannya untuk menolak dakwaan tersebut. Apa yang jelas pandangan umum masyarakat cenderung untuk mentafsirkan bahawa sektor perkilangan dan pemibinaan, merupakan antara penyumbang kritikal yang mencetuskan penularan Covid-19 dalam masyarakat.

Keadaan ini agak nyata jika dibandingkan dengan realiti PKP 1.0 secara relatif, bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 yang membawa kepada penutupan hampir semua sektor ekonomi, termasuk sektor pembinaan dan perkilangan, hasilnya didapati kes penularan Covid 19 berada dalam keadaan stabil pada tiga angka.

Pada awal pelaksanaan PKP pada 18 Mac 2020 jumlah kes yang direkodkan adalah sebanyak 117 kes. Manakala kes yang paling rendah dicapai ialah pada 24 Mac 2020 iaitu sebanyak 106 kes dan kes yang paling tinggi dicatatkan ialah pada 26 Mac 2020, sebanyak 235 kes. Manakala pada 31 Mac 2020 hari terakhir PKP 1.0, jumlah kes adalah sebanyak 140 kes. Memandangkan hampir keseluruhan sektor ekonomi telah ditutup, maka didapati kes-kes jangkitan covid-19 berada dalam keadaan yang stabil pada PKP 1.0. Oleh itu, pandangan umum beranggapan berkemungkinan wujudnya keadaan jangkitan yang stabil pada tiga angka ini disebabkan oleh terhentinya operasi sektor perkilangan dan pembinaan.

Apa pun keadaannya, tindakan yang dilakukan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau rekalah apa jenis nama pun untuk menunjukan tindakan sedang dilakukan, namun pihak yang paling kritikal dalam menerima kesannya adalah rakyat, tidak kira apa kelompok atau kumpulan mereka, sama ada B40, M40 atau pun T20.
Sekatan terhadap aktiviti harian telah banyak menjejaskan emosi, psikologi, pemikiran dan keteraturan hidup rakyat dalam segala aspek, bekerja daripada rumah (BDR) dan Pembelajaran daripada rumah (PdPR) telah menjadi frasa kata yang cukup popular dalam kalangan masyarakat, fenomena budaya baru dalam kehidupan yang dihantui oleh jangkitan Covid-19 dan dua frasa ini akan menjadi frasa pelengkap tradisi sejarah sosial sama ada secara tulisan mahu pun secara lisan.

Realitinya, pengisytiharan darurat yang dikatakan sebagai usaha untuk membolehkan mobilisasi segala bentuk jentera keselamatan untuk memerangi penularan Covid-19, terbukti tidak mempunyai kesan yang menyeluruh sebagaimana yang dihasratkan, kadar jangkitan terus memuncak dan kekal dalam lima angka, pengistiharan darurat secara jelas tidak berperanan dalam mengurangkan jumlah jangkitan harian Covid-19.

Sebaliknya pengisytiharan darurat lebih terdorong untuk menjadi isu dan pertikaian politik, menyelamat kedudukan politik pihak-pihak tertentu, bukannya menyelamatkan rakyat daripada penularan Covid-19, jumlah kes harian masih tetap tinggi, sehingga 31 Julai 2021 kes direkodkan 17,786, menjadikan jumlah keseluruhan kes 1,113,272. Pergerakan yang semakin tinggi berbanding dengan 25 Julai 2021.

Apa yang pasti selain daripada berlakunya pertambahan kes-kes baru Covid-19, juga telah mempertingkatkan jumlah individu-individu yang terlibat dengan gangguan kesihatan mental, dan juga kecelaruan emosi. Berdasarkan laporan pihak berkuasa, pada tahun 2020 terdapat sejumlah 631 kes bunuh diri, berbanding pada tahun 2019 sebanyak 609 kes, iaitu pertambahan sebanyak 22 kes. Bagi tiga bulan pertama 2021 pula terdapat 366 kes bunuh diri. Sepanjang PKP dan PKPP 2020 juga dilaporkan seramai 145,173 orang telah membuat panggilan memohon bantuan psikososial, 85.5 peratus membabitkan isu kesihatan mental. Sehingga September 2020 seramai 15,000 orang penjawat awam telah mendapat perkhidmatan kaunseling.

Berdasarkan situasi yang berlaku, usaha pengurusan penularan Covid-19 memperlihatkan potensi unsur kegagalan, pelaksanaan PKP dan PKPD bukan sahaja tidak berupaya untuk mencegah jangkitan, sebaliknya telah menimbulkan krisis kemanusiaan dalam aspek emosi dan mental. Menambahkan kepayahan dan kesesakan ekonomi rakyat, rakyat kehilangan punca pendapatan, diberhentikan kerja atau diberikan cuti tanpa gaji, menambahkan keresahan hidup rakyat.

Situasi ini telah mencetuskan kegelongsoran taraf hidup yang begitu ketara, mengelincir T20 kepada M40, M40 kepada B40 dan wujudnya kumpulan baru B60. Tentunya pihak-pihak yang terlibat dalam kegelinciran kumpulan pendatapan isi rumah ini mempunyai kesan yang besar untuk terus hidup dalam situasi kepungan penularan Covid-19, apa lagi kesusahan untuk bangkit pasca Covid-19.

Ketegangan emosi, gangguan kitaran aktiviti kehidupan harian, jurang komunikasi antara keluarga dan halangan akitiviti sosial, merupakan antara faktor penyumbang kepada konflik sosial yang telah membawa kepada krisis kemanusiaan dalam kalangan rakyat. Keadaan ini akan lebih membebankan sistem sosial dengn wujudnya kecenderungan masalah kesihatan mental.

Oleh yang demikian, dalam konteks pengurusan Covid-19, jelas telah memperlihatkan ketidakmampuan pihak berkuasa untuk menanganinya secara praktis, holistik dan profesional. Maka dalam situasi ini perlunya dilakukan anjakan paradigma berkaitan dengan kaedah pengurusan Covid-19, bagi membolehkan tindakan konkrit, berkesan serta berimpak tinggi dapat dilakukan.

Satu badan yang bebas terhindar daripada campur tangan kerajaan dan protokol birokrasi perlu diwujudkan untuk merancang dan menstruktur secara profesional usaha mengendali kawalan penularan Covid-19. Badan ini seharusnya dianggotai oleh kumpulan pakar kesihatan awam dalam dan luar negara, pegawai-pegawai perkhidmatan awam, para profesional dalam bidang psikologi klinikal dan psikologi sosial serta pakar-pakar ekonomi dan pendidikan.

Tugas utama badan ini adalah untuk merangka dan melaksanakan pelan tindakan strategik operasi pencegahan penularan Covid-19, di samping merangka dan melaksana program pemulihan sosial serta pembangunan ekonomi. Melaksana pembaharuan serta penambahbaikan sektor pendidikan berkaitan pengajaran dan pembelajaran dalam talian, juga merangka perancangan pendidikan dalam aspek pendidikan secara holistik, dengan mengambil kira impak Covid-19 ke atas perkembangan dasar pendidikan dan eko sistem sekolah, berdasarkan realiti Covid-19 sebagai sebahagian daripada unsur yang akan terus berdampingan dalam masyarakat.

Penulis merupakan Penyelidik Perunding Human Resource Academy