Malaysia Dateline

Kegagalan PN tangani isu perkauman beri peluang PH kembali berkuasa

Kegagalan Perikatan Nasional (PN) menangani isu-isu perkauman yang pernah dicetuskan mereka semasa menjadi pembangkang, memberi peluang yang cerah kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil semula kuasa persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, segala tingkah politik yang dilakukan PN semakin menunjukkan bahawa gabungan itu sengaja mencetuskan sentimen bagi memberi imej buruk kepada PH selama ini.

Pada masa sama katanya, sekiranya PH berjaya kekal dalam satu kesepakatan bersama parti-parti pembangkang yang lain, gabungan itu akan berjaya menjatuhkan PN.

“Semua isu yang mereka timbulkan akhirnya mereka tak mampu buat apa-apa. Sebagai contoh mereka mengapikan isu perkauman dengan kematian pegawai bomba, Muhammad Adib.

“Bila mereka ambil alih menjadi kerajaan, mereka sama sekali tak mampu tangani isu tersebut. Maka ini akan membntu kami menentukan bahawa harapan menang pada PRU15 lebih cerah.

“Rakyat akan lihat bahawa memang selama ini ianya isu yang dipolitikkan. Saya yakin kalau kita boleh beri penjelasan yang baik dan kekalkan kesepakatan serta kerjasama yang padu dalam PH, maka kita akan berjaya berhadapan dengan PRU15,” katanya dalam satu wawancara Big Live TV semalam.

Sementara itu Khalid berkta, PH akan menggunakan strategi gabungan besar-besaran seperti yang digunapakai mereka semasa pilihanraya lalu untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat Barisan Nasional (BN).

Tambah Ahli Parlimen Shah Alam itu, pengundian Belanjawan 2021 sebelum ini telah membuktikan PH Plus setia dengan prinsip perjuangan mereka.

“PN memerlukan sokongan Ahli Parlimen tambahan sebab majoriti tipis. Walau ada tawaran, tapi kami kukuh bersama. Ini adalah asas baik untuk mulakan gerakan menghadapi PN dan jatuhkannya dalam pilihanraya.

“Hakikatnya kami telah tahan diuji kerana sememangnya berbagai jawatan, tawaran dan duit yang pernah dikemukakan, tapi kami tak pernah lari,” katanya lagi.