Keganasan baru di selatan Thai bayangi perjanjian ‘Zon Keselamatan’

Keganasan baru di selatan Thai bayangi perjanjian ‘Zon Keselamatan’

Baru 48 jam selepas perjanjian bersejarah bagi penubuhan “Zon Keselamatan” di Selatan Thailand dicapai, keganasan terbaharu meletus di wilayah bergolak itu yang berpotensi menjejaskan usaha damai.

Lima insiden keganasan, di Narathiwat and Pattani semalam dan kelmarin di Songkhla yang keseluruhannya meragut nyawa 11 orang, termasuk penemuan sebuah kenderaan sarat dengan 100 kg bom buatan sendiri membayangi perjanjian itu.

“MARA Patani mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan konflik Pattani melalui dialog politik secara aman dan penubuhan zon keselamatan merupakan langkah bagi melindungi penduduk awam,” kata jurucakapnya Dr Abu Hafez Al-Hakim dalam satu kenyataan kepada Bernama semalam.

Beliau berkata pertubuhan itu yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand, tidak merestui keganasan membabitkan orang awam dan kanak-kanak serta mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut.

Tiga hari lalu, selepas rundingan yang berlarutan hampir tiga tahun, Kerajaan Thailand dan MARA Patani mencapai persetujuan mengenai kerangka bagi penubuhan Zon Keselamatan, kawasan yang ditentukan sebagai bebas daripada sebarang bentuk keganasan.

Perjanjian itu, yang diusahakan di Malaysia secara perantara, disifatkan oleh pemerhati sebagai bersejarah dan signifikan ke arah penyelesaian secara aman konflik yang berlarutan bertahun-tahun dengan meragut lebih 6,000 nyawa.

Dalam insiden semalam di daerah Rusak di Narathiwat, empat orang dari satu keluarga temasuk seorang budak lelaki berusia 8 tahun maut apabila diserang oleh orang tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki trak.

Dua lagi cedera dalam insiden itu yang berlaku pada 7.30 pagi (waktu tempatan).

Dalam insiden terkini di sebuah pasar malam di Mayo, Pattani pada pukul 8.30 malam semalam (waktu tempatan), tiga anggota keselamatan dan seorang yang berada di tempat kejadian di tembak mati sekumpulan penyerang, menurut seorang pegawai polis tempatan.

Dalam kejadian awal di Lubuk Jerai, Mayo pada pukul 5.45 petang (waktu tempatan), seorang anggota keselamatan ditembak mati oleh beberapa lelaki tidak dikenali ketika dalam perjalanan pulang selepas menamatkan tugasnya.

Kelmarin di Thepa, Songkhla, polis mengeluarkan mayat seorang lelaki dan isterinya dari sungai selepas mereka diculik oleh orang tidak dikenali yang melarikan kenderaan mereka.

Pihak berkuasa kemudian menemukan kenderaan pasangan itu ditinggalkan dekat sebuah pos polis di Thepa dan berjaya mematikan bom buatan sendiri yang disambung dalam kenderaan menggunakan wayar sebelum meletupkannya.

Sementara itu, Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha ketika ditanya mengenai kejadian itu berkata insiden keganasan itu tidak akan menjejaskan proses damai dan kerajaan akan mencari jalan bagi mengatasai masalah di selatan negara itu.

Beliau berkata jika zon keselamatan berjaya dilaksanakan, kerajaan bersedia membincangkan isu-isu lain.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Jen Prawit Wongsuwan berkata walaupun ada yang maut dalam insiden semalam, tahap keganasan di selatan Thailand sebenarnya telah menurun.

“Jumlah insiden keganasan sentiasa menurun dan berkurangan berbanding tahun lepas,” kata beliau kepada pemberita.

TAGS