Keganasan Chin Peng tidak akan dimaafkan, kata bekas anggota Renjer

Oleh ARIF ATAN

Seorang bekas anggota Renjer ‘Platun UCIS’ Ali Hamit melahirkan rasa kekesalan sebaik mendapat berita mengenai pembawaan abu mayat Chin Peng yang dibawa ke Malaysia baru-baru ini.

Katanya, keganasan yang dilakukan oleh Chin Peng ke atas negara ini dengan menyebarkan fahaman komunismenya adalah sukar dimaafkan oleh seluruh anggota Renjer Platun UCIS yang bermatian-matian mempertahankan negara ketika itu.

“Saya akui terlalu kesal dengan tindakan segilintir masyarakat dan penduduk di negara ini masih memuja dia(Chin Peng) sekaligus dipercayai cuba menyebarkan fahaman komunisme di kalangan rakyat Malaysia.

“Bayangkan ramai pejuang anggota keselamatan telah menjadi mangsa dan meninggal dunia dek kerana berjuang menentang dia ketika itu demi mempertahankan negara daripada sekutu komunis di tanah air ketika itu.

“Waima abu mayat sekalipun dibawa ke bumi ini, saya tetap tidak dapat menerimamya,’ ujar beliau ketika ditemuramah di pejabatnya di Kuching hari ini.

Mengimbau detik-detik ketika bertempur dengan pengganas komunis, Ali yang bersama Temenggong Datuk Kanang anak Langkau dalam Platun elit dikenali ‘Special Squad’ telah enam kali berhadapan serangan hendap pihak musuh.

Jelas beliau, kemuncaknya tanggal 1 Jun 1979 adalah memori yang tidak dapat diluputkan sehingga ke hari ini apabila pertempuran yang berlaku di Hutan Simpan Belum, Perak hampir sahaja meragut nyawa beliau dan rakan -rakannya sebaik diserang hendap pengganas komunis.

Katanya, pada masa itu dua anggota Renjer UCIS telah terkorban manakala seorang lagi mengalami cedera parah ketika berhadapan dengan sekumpulan pengganas yang diketuai sebagai Nam Yatt.

Justeru, Ali berharap agar generasi masa kini dapat menghargai pengorbanan para pejuang lama yang telah bermatian-matian mempertahankan tanah air tercinta ini.

Tegasnya, tindakan beberapa pihak yang cuba menghidupkan lagi sisa-sisa perjuangan komunis di negara ini mestilah diberhentikan segera andai tidak mahu pertumpahan darah berlaku lagi nanti.

“Walapun sudah bergelar veteran pejuang tetapi pengalaman kami jangan sesekali dicabar.

“Hakikatnya kami masih mampu untuk memberi tentangan meski tidak berupaya memikul senjata lagi, ” kata Ali.

Baru-baru ini,heboh abu mayat Chin Peng dilaporkan telah dibawa balik dari Thailand ke Malaysia dan ditaburkan di hutan dan laut. Pejuang Parti Komunis Malaya itu meninggal dunia di Bangkok enam tahun lalu.