Malaysia Dateline

Keganasan rumah tangga: Polis siasat ADUN Selangor

Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor mendera bekas isterinya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, kata Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh.

“Ya, saya sahkan kita ada terima laporan kes itu yang akan disiasat mengikut seksyen berkenaan,” dipetik BH, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bekas isteri ahli politik dari parti komponen Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis dan mendakwa didera ADUN berkenaan pada 21 Ogos lalu.

Pasangan itu dilapor memfailkan kes perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Langat baru-baru ini.

Wanita mangsa dera itu dipercayai isteri ketiga ADUN tersebut yang sebelum itu dikatakan sudah menceraikan isteri pertama dan kedua ketika perkahwinan mereka.

Dia mendakwa bekas suaminya itu mahu berkahwin semula dengan bekas isteri kedua tetapi tidak mendapat persetujuannya menyebabkan perkahwinan mereka mulai goyah.