Malaysia Dateline

Kegilaan teroka hutan simpan untuk Ladang Hutan sudah jadi ketagih, dakwa Husam Musa

Kegilaan untuk meluluskan kawasan balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) untuk dijadikan kawasan Ladang Hutan sudah menjadi satu macam ketagihan di kalangan pemimpin kerajaan negeri Kelantan, dakwa Pengerusi #SaveKelantan, Datuk Husam Musa.

“Ia sudah umpama ketagihan, tidak boleh berhentikan lagi,” kata Husam dalam satu wawancara yang mula disebarkan bagi menerangkan kenapa beliau menentang projek Ladang Hutan yang ada sekarang.

Menurut bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan itu, ia berlaku kerana hasil yang diperolehi oleh tauke balak melalui projek Ladang Hutan ini lebih besar berbanding dengan mendapat kawasan balak biasa.

“Dapat kawasan Hutan Simpan Kekal untuk dijadikan Ladang Hutan lebih besar untungnya kerana semua jenis pokok boleh ditebang atau tebang habis berbanding dengan kawasan balak biasa.

“Kawasan balak biasa dibuat secara tebangan terpilih atau selective logging bukan tebang habis.

“Jadi kalau kita boleh dapat ikan tenggiri bakar buat apa kita layan ikan kembung bakar,” kata Husam yang kesal dengan penyelewengan yang berlaku melalui projek Ladang Hutan bermula dengan kawasan HSK dibenarkan untuk ditebang habis untuk dijadikan Ladang Hutan.

Dalam video itu Husam menjelaskan dengan detail bagaimana program Ladang Hutan bermula di negara ini dengan negeri Pahang menjadi tapak projek pertama Ladang Hutan di negara ini.

Projek Ladang Hutan dalam HSK yang pertama dibuat oleh Jabatan Hutan di Kamasul, Mentakab, Pahang pada tahun 1995 dimana 18,000 ekar kawasan HSK telah dibersihkan dan ditanam dengan pokok Acasia.

Menurut Husam, berdasarkan pertemuan beliau dengan pegawai yang terlibat, ketika hutan ini dibersihkan dahulu, anak-anak pokok Cengal dan Meranti yang sangat bernilai itu penuh dalam hutan itu, namun ia dibersih dan dimusnahkan begitu sahaja bersama dengan anak-anak pokok yang tumbuh secara semula jadi.

“Kononnya Ladang Hutan lebih baik dan lebih hasilnya berbanding dengan hutan semula jadi. Namun, projek ini kemudiannya diisytiharkan sebagai gagal,” kata Husam.

Husam diwawancara tentang Ladang Hutan, sejarah dan pelaksanaannya di Kelantan.

Di Kelantan, projek Ladang Hutan bermula pada tahun 1998 melalui cadangan Jabatan Hutan ketika Husam adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz.

Menurut Husam, antara syarat awal Ladang Hutan ini adalah untuk hutan yang dikategorikan sebagai hutan yang miskin iaitu hutan yang telah tidak ada balak yang besar.

“Projek ini kebanyakannya ditolak balik oleh syarikat yang mahu membuat
Ladang Hutan ini kerana mereka tidak mampu membuatnya kerana kekurangan modal dan geran tidak ada lagi di masa itu,” kata Husam.

Menurut Husam, projek Ladang Hutan bermula secara besar-bersaran di Kelantan selepas tahun 1999 ketika beliau adalah ahli Parlimen Kubang Kerian dan bukan berada dalam kerajaan negeri.

“Pada masa itu yang jadi Exco adalah Datuk Takiyuddin Hassan, Menteri Sumber Asli sekarang.

“Datuk Nik Amar juga adalah ahli Parlimen dan bukan dalam Exco tetapi dia adalah Ahli Lembaga Kelantan Darul Naim (Yakin) yang turut terlibat dengan projek Ladang Hutan ini.

“Sudah tentu, dia sedikit sebanyak tahu tentang Ladang Hutan ini,” kata Husam menerusi video itu.

Selepas 2004 apabila Husam berada dalam Jawatankuasa Kecil Perhutanan

Isu Ladang Hutan menjadi topik panas di kalangan aktivis alam sekitar berikutan pelbagai pendedahan yang dibuat oleh mereka dan juga NgO Save Kelantan yang dipengerusikan Husam.

Mereka mendedahkan tanah hutan seluas tiga kali ganda pulau Singapura dibenarkan untuk pembalakan termasuk untuk dibuat Ladang Hutan.

Save Kelantan turut mendedahkan imej satelit tentang pemusnahan hutan secara besar-besar di Hutan Simpan Nenggiri, Kuala Krai yang antaranya untuk dibuat Ladang Hutan.

Universiti Putra Malaysia (UPM) turut prihatin dengan isu Ladang Hutan dan mahu terlibat secara langsung bagi memastikan ia berjalan dengan baik demi menjaga kelestarian alam.

Anak syarikat UPM dalam satu kenyataan bertulis mereka menggesa kajian menyeluruh berkaitan usaha penanaman semula hutan dilakukan segera bagi menyelesaikan isu penggondolan dan ladang hutan secara komprehensif demi kelestarian hutan-hutan di negara ini.

IKUTI WAWANCARA DENGAN HUSAM MUSA MENGENAI LADANG HUTAN.