Kehadiran Anuar Tahir suntik semangat PH Temerloh hadapi PRU14

Kehadiran Anuar Tahir suntik semangat PH Temerloh hadapi PRU14

Syed Hamid Syed Mohamed

Kehadiran Setiausaha Agung Parti Amanah Negera (AMANAH), Mohd Anuar Tahir ke Temerloh memberikan semangat kepada anggota jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Temerloh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Timbalan Ketua AMANAH Temerloh, Syed Hamid Syed Mohamed berkata, kedatangan Anuar Tahir ke Temerloh bermula pada 24 Februari lalu untuk program taklimat AMANAH Temerloh dan juga pertemuan dengan masyarakat Cina dalam jamuan meraikan Tahun Baharu Cina memberikan impak yang sangat positif.

Haji Anuar Tahir yang kemudian diumumkan berkemungkinan bakal calon bagi kerusi Parlimen Temerloh melalui program Invoke kendalian Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di bandar itu baru-baru ini telah menjadi perhatian umum warga Temerloh, kata beliau.

“AMANAH Temerloh menyambut baik kehadiran Anuar dan bersetuju jika beliau menjadi calon bagi Parlimen Temerloh yang bakal ditandingi AMANAH pada PRU14 nanti.

Program Invoke di Temerloh mengumumkan Anuar Tahir berkemungkin calon AMANAH bagi Parlimen Temerloh.

“AMANAH Temerloh tiada masalah dan ‘solid’ di belakang beliau, begitu juga dengan anggota PH Temerloh,” katanya sewaktu dihubungi Malaysia Dateline.

Jelas Syed Hamid, selepas beberapa program diadakan bersama Anuar seperti meninjau dan menyantuni peniaga-peniaga di pekan sehari Temerloh, minum petang bersama warga tempatan, makan malam bersama warga Cina di bandar Temerloh, pihaknya telah mendapat reaksi positif dalam kalangan pengundi berhubung kehadiran beliau.

Kata beliau, melalui tinjauan pihaknya, warga Cina tidak mempunyai masalah dengan kehadiran Anuar Tahir, hatta untuk bertanding di Parlimen Temerloh pada PRU14 nanti.

“Bagi mereka, selama ini mereka melihat Anuar Tahir sebagai seorang yang ‘bekerja’ dan tidak berdepan dengan sebarang isu kontroversi serta rapat dengan golongan bawahan.

Anuar menyantuni peniaga pekan sehari Temerloh.

“Mereka berkeyakinan Anuar boleh ‘bekerja’,” kata Syed Hamid.

Manakala dalam kalangan pengundi Melayu pula kata beliau, mereka melihat Anuar sebagai sosok yang selama ini rapat dengan golongan bawahan, berpendidikan serta cekal sebagai seorang aktivis masyarakat sejak dulu.

“Mereka meletakkan harapan, dalam keadaan Anuar yang sedemikian, beliau dapat memahami apa yang dilalui oleh golongan bawahan dan dapat pula membela mereka.

“Mengenai Anuar sebagai ‘orang luar’, bagi mereka ia bukan masalah besar kerana Anuar hanya berada di Kuala Lumpur, sekitar sejam setengah perjalanan dari Temerloh.

“Sekiranya beliau (Anuar) betul bekerja kata mereka, jarak itu tidak jauh,” kata Syed Hamid.

Program minum petang Anuar bersama warga Temerloh.

Bersamaan dengan beberapa pandangan umum mengenai Anuar Tahir itu, kata Syed Hamid, AMANAH Temerloh juga turut menyimpulkan beliau adalah salah seorang yang mewakili warga marhaen.

“Kesimpulannya, Anuar mewakili golongan marhaen,” kata Syed Hamid.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0