Kehadiran bekas pemain beregu nombor satu dunia bersama Peng Soon-Liu Ying timbul tanda tanya

Kehadiran bekas pemain beregu nombor satu dunia bersama Peng Soon-Liu Ying timbul tanda tanya

Kehadiran bekas beregu lelaki nombor satu dunia, Chew Choon Eng bersama pasangan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 menimbulkan tanda tanya adakah beliau akan dipilih menjadi jurulatih tetap pasangan itu.

Choon Eng berada di bangku jurulatih ketika Peng Soon-Liu Ying menewaskan gandingan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-13, 21-14 pada pusingan pertama di Axiata Arena, hari ini.

Ketika ditemui pemberita, Liu Ying berkata kehadiran Choon Eng adalah untuk membantu mereka yang kini terpaksa beraksi tanpa jurulatih selepas mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lepas.

“Kita sebenarnya kelam-kabut mencari jurulatih sejak sebelum bermula Thailand Masters lagi dan kali ini kita minta tolong beliau (Choon Eng) sahaja. Kita berharap dapat melantik jurulatih tetap kalau boleh dapatkan penaja,” jelasnya di sini, hari ini.

Antara pencapaian tertinggi diraih Choon Eng yang bergandingan dengan Chan Chong Ming adalah merangkul pingat emas Sukan Komanwel Manchester 2002 serta pingat gangsa bagi kejohanan dunia 2001 dan Sukan Asia Busan 2002.

Sementara itu, Peng Soon mengakui lebih cenderung untuk mendapatkan khidmat jurulatih tempatan berbanding antarabangsa dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin sebelum bermulanya pusingan kelayakan Olimpik Tokyo 2020, April ini

“Mesti dari Malaysia. Itu adalah pilihan utama kerana kita akan mewakili negara. Harap benda ni boleh diselesaikan sebelum bulan Mac kerana April sudah mula kelayakan Olimpik. Jadi kita berharap dalam bulan dua ini segalanya dapat diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, menanti bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu pada pusingan kedua yang akan berlangsung esok adalah pasangan dari China, Lu Kai-Chen Lu.

Peng Soon berkata terdapat perbezaan beraksi sebagai pemain bebas di laman sendiri kerana tekanan di gelanggang lebih rendah jika dibandingkan ketika beraksi sebagai beregu utama kebangsaan.

“Tekanan tetap ada, cuma keadaan sekarang, kami saling tegur kesilapan masing-masing berbanding dulu, jurulatih akan tegur kesilapan kami,” kata Peng Soon.

— BERNAMA