Malaysia Dateline

Kehadiran Micron Technology tingkatkan kedudukan Pulau Pinang sebagai Pulau Silikon Asia

Kehadiran Micron Technology Inc, antara syarikat Fortune 500, untuk membina pusat kecemerlangan pemasangan dan pengujian pemacu canggih (SSD) di Batu Kawan, di negeri ini, akan meningkatkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai Pulau Silikon Asia.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri mengalu-alukan hasrat Micron Technology dan memberi jaminan akan memberi sokongan serta komitmen kepada syarikat dari Amerika Syarikat (AS) itu untuk berkembang.

“Micron Technology akan melabur RM1.5 billion dalam masa lima tahun akan datang untuk membina kemudahan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Syarikat semikonduktor itu membuat pelaburan berkenaan bagi membina kemudahan itu di kawasan seluas 21 hektar yang dijangka beroperasi dalam masa dua tahun dan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor elektrikal dan elektronik (E&E)

Chow berkata, Pulau Pinang mencatatkan kemasukan terbesar pelaburan langsung asing (FDI) bidang pembuatan yang diluluskan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dalam kalangan negeri di Malaysia yang bernilai RM8.5 bilion.

Katanya, Pulau Pinang juga adalah penerima kedua terbesar jumlah pelaburan dalam bidang pembuatan benilai RM10.8 bilion.

“Daripada RM72 bilion pelaburan diluluskan yang direkodkan antara 2008 hingga Jun tahun ini, RM14.4 bilion atau 30 peratus adalah dari AS, yang menjadikan mereka penyumbang terbesar FDI kepada ekonomi Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Operasi Pengurusan Micron Technology, Gursharan Singh, berkata syarikat berkenaan memilih negeri ini untuk tujuan pengembangannya kerana Pulau Pinang diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan untuk produk semikonduktor dan penstoran.

“Pulau Pinang menawarkan pelbagai kelebihan termasuk rantaian bekalan berkualiti tinggi untuk industri elektronik, logistik, infrastruktur pembuatan mampan, persekitaran perniagaan yang kondusif, akses kepada bakat dan sokongan kerajaan yang kukuh,” katanya.

— BERNAMA