Malaysia Dateline

Kehadiran Mohamad Sabu ke MSC 2020, kukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Jerman

Munich Security Conference (MSC) 2020 menyaksikan kehadiran Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu di Munich, Jerman selama 3 hari bermula 14 Feb hingga 16 Februari 2020.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataannya hari ini berkata, kehadiran Mohamad ke MSC 2020 adalah sebahagian daripada Perkongsian Berwibawa yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) di bawah inisiatif diplomasi pertahanan.

“Kehadiran ini demi menggalakkan hubungan pertahanan positif melalui platform dua hala dalam menangani isu pertahanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa yang dikongsi oleh Malaysia dan negara lain.

“Semasa lawatannya, Mohamad turut mengambil kesempatan mengadakan pertemuan bersama diaspora Malaysia di Jerman bagi berkongsi intipati KPP yang menggariskan strategi jangka panjang demi mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,” katanya.

Pada masa sama, kenyataan itu juga menjelaskan bahawa sejak penganjurannya lebih lima dekad yang lalu, MSC 2020 berkembang menjadi persidangan utama yang membahaskan dasar keselamatan antarabangsa.

Jelasnya, persidangan kali itu menyaksikan kehadiran lebih 500 delegasi peringkat tinggi dari seluruh dunia termasuk pemimpin negara, menteri-menteri kabinet serta tokoh terkemuka dalam bidang keselamatan.

Malah, persidangan tersebut turut membincangkan pelbagai isu keselamatan dunia yang semakin membimbangkan termasuk kawalan senjata.

Ia juga termasuk perbincangan tentang cabaran dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan di Asia Pasifik, dialog berhubung program peluru berpandu, multilateralisme dan peralihan kuasa besar.