Kehangatan pemilihan Parti Amanah Negara

Kehangatan pemilihan Parti Amanah Negara

Baru-baru ini dua orang Yang Berhormat dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak dipilih untuk menjadi ketua kawasan masing-masing. Mereka ialah Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil dan Adun Sg Ramal, Mazwan Johar.

Nyata sekali kegagalan kedua-dua wakil rakyat itu untuk memposisikan diri mereka di kawasan masing-masing menjadi buah mulut ramai ahli. Namun, pujian harus diberikan kepada kedua-dua YB itu yang akur dengan proses demokrasi yang berlangsung dalam parti.

Kini, musim pemilihan di kawasan-kawasan yang akan berlangsung sehingga akhir Ogos. Selepas itu, pemilihan di peringkat negeri akan berlangsung dalam Oktober dan seterusnya peringkat nasional akan berlangsung pada Disember.

Sepanjang proses pemilihan ini berlangsung, pelbagai isu telah dibangkitkan dan diadukan oleh ahli-ahli. Ada yang mengadu bahawa pemilihan berlaku dengan tidak adil kerana ketua yang dipilih itu bukanlah daripada team mereka.

Ada pula yang mengadu bahawa wujud ‘cai’ seperti mana yang pernah berlaku dalam pemilihan parti Pas pada 2015. Maka, sesetengah ahli menganggap ‘cai’ adalah satu perbuatan yang keji dan terkutuk.

Sebenarnya, apa yang berlaku adalah ramai yang tidak begitu memahami proses pemilihan dalam parti meskipun kesemua proses ini telah didokumentasikan dan boleh dicapai oleh ahli-ahli menerusi telefon pintar masing-masing.

Dua dokumen yang mustahak untuk dibaca dan difahami oleh ahli-ahli adalah Perlembagaan Parti Amanah Negara (2017) dan Tatacara dan Peraturan Pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) 2018.

Perlembagaan parti telah menetapkan bahawa setiap tiga tahun sekali akan berlangsung pemilihan. Bagi peringkat kawasan, jawatan yang dipertandingkan adalah seorang Pengerusi Tetap, seorang Timbalan Pengerusi Tetap, dua orang Juruaudit dan 15 orang Jawatankuasa Pimpinan Kawasan.

Sebaik sahaja keputusan pemilihan diumumkan, Pengerusi tetap akan memanggil satu mesyuarat di kalangan 15 orang yang dipilih itu bersama dengan Ketua Wanita Amanah Kawasan, Ketua Pemuda Amanah Kawasan dan Ketua Wanita Muda Kawasan dan mesyuarat itu hendaklah memilih daripada kalangan 15 orang yang dipilih itu, Ketua, Timbalan Ketua dan tidak lebih daripada dua Naib Ketua.

Pemilihan ini berbeza dengan pemilihan dalam Pas, PKR atau Umno yang mana individu tertentu akan dipilih terus oleh perwakilan parti untuk jawatan tertentu seperti presiden, timbalan presiden atau naib presiden dan AJK. Namun, dalam pemilihan AMANAH peringkat pertama adalah untuk memilih sejumlah AJK terlebih dahulu dan selepas itu AJK itulah yang akan memilih siapakah yang akan menjadi ketua.

Justeru, adalah mustahak bagi semua yang berminat untuk mengetuai sesuatu kawasan untuk memasuki pertandingan dengan team mereka. Ini kerana kemenangan secara individu tanpa team yang cukup maka hasrat mereka untuk menjadi ketua itu mungkin akan gagal kerana meskipun dipilih sebagai AJK di peringkat pertama tetapi gagal di peringkat kedua.

Ada pula perwakilan ke Mesyuarat Tahunan itu meninggalkan mesyuarat sebelum berakhirnya proses pemilihan dan tanpa mengetahui siapakah yang dipilih sebagai ketua. Tindakan ini adalah silap kerana sepatutnya perwakilan menunggu sehingga selesai semua agenda mesyuarat.

Pemilihan hanyalah satu agenda dalam Mesyuarat Tahunan sedangkan ada lagi agenda mesyuarat yang perlu diselesaikan seperti meluluskan minit dan laporan tahunan yang lalu, menerima dan meluluskan penyata kewangan, membincangkan usul dan resolusi, memilih perwakilan ke Konvensyen Nasional atau Konvensyen Negeri (mengikut peringkat mana). Jika mana-mana urusan ini tidak diselesaikan maka, satu Mesyuarat Khas Kawasan perlu dipanggil bagi menyelesaikan sebarang urusan yang tertangguh.

Selain itu ramai juga ahli yang tidak faham tentang apakah yang boleh dilakukan dan apakah yang tidak boleh dilakukan dalam pemilihan. Hal ini sudah termaktub dalam Tatacara 6.2 Tatacara dan Peraturan Pemilihan mengenai perkara yang boleh dilakukan.

Secara umumnya enam perkara yang dilarang untuk dibuat iaitu menjalankan kempen yang bertentangan dengan hukum-hakam, akhlak Islam, lunas demokrasi atau undang-undang. Begitu juga dengan larangan untuk membuat sogokan atau membuat ugutan dan kekerasan.

Selain itu, seseorang calon juga tidak boleh menyalahgunakan kedudukan atau jawatan sama ada dalam AMANAH atau kerajaan untuk mendapatkan undi atau menyalahgunakan apa jua program, aktiviti, himpunan atau mesyuarat parti untuk menfitnah, mengkeji, mencela atau menyindir atau mengeluarkan kenyataan palsu. Seseorang calon juga dilarang untuk mengeluarkan apa-apa kempen yang berbentuk kenyataan fitnah, kejian atau celaan.

Sesiapa yang melanggar hal-hal yang dinyatakan itu boleh diambil tindakan tatatertib sama ada dalam bentuk diberikan amaran, digantung keahlian, memecat keahlian atau larangan untuk bertanding atau memegang apa-apa jawatan dalam pemilihan parti.

Justeru, adalah tidak menjadi satu kesalahan jika adanya pihak yang mewujudkan team masing-masing untuk bertanding sama ada dengan cara ‘cai’ atau kempen atau lain-lain cara. Begitu juga, tidak menjadi satu kesalahan jika dibuat kempen dalam bentuk debat terbuka seperti yang dianjurkan oleh Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan.

Marilah kita sama-sama memeriahkan pesta demokrasi dalam AMANAH tanpa menyalahi sebarang peraturan. Jadikan pemilihan ini satu pemilihan yang sihat. Usahlah kita terpengaruh dengan mana-mana ‘cai’ atau team (meskipun penggunaan ‘cai’ ini tidak menyalahi peraturan) tetapi gunakan akal kita untuk memilih pemimpin yang kita fikirkan akan membawa matlamat parti ke hadapan.

* Artikel ini dipetik dari akhbar Mingguan Amanah, Bil 161, 25 Julai – 3 Ogos 2019.