Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang

Keharmonian, ketenteraman awam harus diutamakan, kata Abdul Hadi

Pas menyeru semua pihak agar bertenang dan memahami isu sebenar di sebalik insiden yang tidak diingini ini, serta tidak mencetuskan sentimen agama dan perkauman yang tidak sihat di kalangan masyarakat awam.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan hari ini berkata, perpaduan dan keharmonian rakyat perlu diutamakan, dan hak beragama perlu dihormati mengikut lunas undang-undang.

“Pihak pemaju perlu menjaga sensitiviti kaum dan agama. Sebarang unsur yang boleh menimbulkan sensitiviti di kalangan rakyat perlu ditangani dengan pantas oleh pihak berwajib, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat yang telah dipilih.

“Pas berkeyakinan bahawa pihak PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Selangor mampu menangani isu ini dengan baik mengikut lunas undang-undang, demi mengembalikan ketenteraman awam di lokasi terbabit dan juga di seluruh negara amnya,” ujarnya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Marang itu juga menyarankan agar semua pihak yang terlibat dapat duduk semeja bagi meredakan keadaan dalam tempoh segera.

Pas ujarnya lagi, mengikuti secara dekat perkembangan insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, USJ Subang Jaya yang sudah berlarutan sejak beberapa hari yang lalu.

Sebagai rekod Pada 31 Oktober lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V. Ganabatirau berkata dalam Penghakiman Persetujuan bertarikh 11 Mac 2014, empat pihak terlibat bersetuju memindahkan kuil itu dan menyerahkan kembali tapak kuil dalam keadaan kosong kepada pemilik tanah.

Empat pihak terlibat dalam penghakiman berkenaan ialah kerajaan negeri; pemilik tapak kuil berkenaan, One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil berkenaan, K. Chellappa dan M. Nagaraju.

Chellappa memfailkan bantahan terhadap usaha One City mengambil tapak kuil berkenaan pada 1996.

Dalam penghakiman persetujuan itu, One City bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil manakala kerajaan negeri menyerahkan tanah kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil untuk tujuan pemindahan kuil berkenaan.

Bagaimanapun pada 28 September, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lepas.

Bagaimanapun, pada 25 November kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan pemindahan dijalankan.

Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah.

Tindakan pantas polis membendung kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights, yang menyaksikan 17 lelaki ditahan dalam tempoh kurang 24 jam, meredakan suasana tegang dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun insiden rusuhan itu tidak berhenti setakat penahanan itu, malam tadi berlaku lagi pertempuhan antara pasukan bomba, FRU dan orang ramai yang membantah dan mahu kerajaan campurtangan dalam isu membabaitkan tempat ibadat kaum India itu.

Sehingga hari ini polis mengesahkan seramai 21 orang telah ditahan susulan kejadian rusuhan yang berlaku selama dua hari ini.