Malaysia Dateline

Keharmonian rakyat berbilang kaum di Sarawak jadi iktibar bina Malaysia Baharu

Masyarakat Dayak terkenal dengan keunikan budaya yang merupakan aset bukan sahaja kepada negara malah dalam industri pelancongan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata tahun ini, dokumentari Gawai akan ditayangkan melalui saluran TV1 dan TV2, satu inisiatif kerajaan untuk memartabatkan keunikan budaya dan adat masyarakat Dayak.

“Gunakan perayaan Gawai Dayak untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan memperkukuhkan jalinan mesra antara masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Triboh, bahagian Serian, dekat sini, malam ini.

Katanya, kunjungannya ke Sarawak untuk bersama masyarakat setempat sudah tentu menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Beliau berkata ini kerana keharmonian yang wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak harus dijadikan satu teladan dan iktibar kepada semua dalam usaha membina Malaysia Baharu.

Program tersebut turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

“Malam ini, saya berada bersama masyarakat suku kaum Iban Remun di daerah Serian dan esok saya akan berkunjung ke tiga buah kampung suku kaum Bidayuh,” katanya.

Beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada Persatuan Serian Iban Remun (SIRA) yang sudi menerimanya serta rombongan untuk semua bersama-sama meraikan perayaan yang bermakna itu.

“Sebentar lagi, kita akan “Ngirup Ai Pengayu” untuk lancarkan perayaan Hari Gawai Dayak tahun 2019. GAYU GURU, GERAI NYAMAI. (Semoga panjang umur dan sentiasa sihat.),” katanya.

Gobind turut mengimbau sambutan Gawai Dayak di Bintulu pada 18 Mei lalu dan berasa amat gembira diberi peluang untuk merasmikan majlis tersebut serta teruja dengan unsur budaya dan adat yang ditonjolkan oleh masyarakat Dayak yang mengambil bahagian.

Gobind turut menyertai penduduk kampung menyaksikan upacara ritual ‘miring’ serta persembahan tarian kebudayaan di samping merasai makanan tradisional Dayak yang sinonim dengan sambutan Gawai.

Sementara itu, Baru Bian berkata, beliau berasa bertuah dapat menyertai penduduk Kampung Triboh bagi meraikan perayaan Gawai yang disambut secara besar-besaran di Sarawak.

Katanya, kaum Iban adalah antara suku kaum yang amat unik dari segi latar belakang budaya dan adatnya.

Ketika ditemui Bernama, ketua kaum Kampung Triboh, Albert Moni Igang menyambut baik kehadiran Gobind ke kampungnya yang mempunyai 148 keluarga itu.

Sekurang kurangnya beliau dapat melihat sendiri sambutan dan adat resam kaum Iban Remun yang unik, katanya.