Malaysia Dateline

Kehebatan persahabatan Siddiq Fadzil dan Anwar Ibrahim

Siang tadi makan tengah hari di sebuah restoran iaitu pertama kali sejak PKP 2.0 bagi memenuhi pelawaan Dr Zaiyadi Awang Noh.

Sambil makan mengimbau masa lalu, 23 tahun lepas, 3 September 1998 di mana tarikh Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno dan disentak jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Tarikh 3 September menjadi hari luka untuk seluruh rakyat Malaysia khasnya yang mendambakan Putera Ceruk Tok Kun itu diimpikan menjadi Perdana Menteri selepas OT96. Dambaan itu memandangkan kebolehan dan ketokohan yang ada kepadanya.

Setelah 23 tahun, sudah empat orang menjadi PM, termasuk daripada orang yang tidak pernah pun dibayangkan akan jadi PM. Mereka telah melangkaui Anwar.

Namun atas suratan takdir itu, Anwar tidak pernah kecewa dan putus asa atas apa yang berlaku, tidak mengencatkan pun perjuangannya. Beliau bukan sahaja terlepas jawatan itu, tetapi menghadapi nasib malang di penjara, melalui penyeksaan zahir dan batin kerana perjuangan tidak terlukis dengan kata-kata.

Ramai orang sedih, kesal dan menangis atas nasib diterimanya tetapi tidak dengan beliau. Kepada yang mengelaknya pula, sedikit pun tidak meralatkannya.

Di sini bukan hendak menceritakan kecekalan Anwar menghadapi cabaran dan melalui tribulasi perjuangannya, yang tidak mungkin dapat dilintasi sesiapa pun, tetapi mahu mengisahkan perihal kawan-kawannya, yang datang dan pergi, pergi dan datang dan yang pergi tidak kembali lagi.

Tidak bertepi

Sudah ramai kawan Anwar yang pergi tidak kembali. Di awal Hijrah ini tiga kawan dan orang dekat dengannya pergi. Ini yang kami bincangkan semasa pertemuan tadi.

Melihat hal ini sesuatu yang menghibakan Anwar. Terbaharu ialah Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil yang kembali ke Rahmatullah semalam.

Kebetulan Zayadi mengenali dan rapat dengan Allahyarham. Saya mengambil peluang untuk mencungkil kehebatan dan erti persahabatan Allahyarham dengan Anwar.

Dr Zayadi menjadi sebak dengan tiba-tiba apabila bercerita fasal Siddiq Fadzil, berjurus beliau tidak dapat bersuara, matanya merah dan “berdarah”.

Ada peristiwa indah yang luar biasa dialami bersama Siddiq Fadzil menjelang pemergian tokoh intelektual itu, teramat rahsia pula untuk didedahkan di sini.

Mengutik penilaian Azam Abdul Rahman terhadap Siddiq Fadzil dalam bersahabat dengan Anwar, dimana persahabatan mereka berdua kata Azam tidak bertepi, hakikat itu diakui oleh Zaiyadi.

Kehebatan Siddiq dalam bersahabat dengan Anwar, menurut Zaiyadi, Allahyarham tidak pernah memburukkan Anwar apa lagi meninggalkannya.

Bahkan sesuatu yang tidak baik dituding kepada Anwar akan diperindahkan oleh Siddiq. Siddiq Fadzil adalah tukang makeup Anwar.

Saya terkulai mendengar tafsiran Zaiyadi itu. Diam-diam saya mengakuinya kerana sebelum ini saya melihat Allahyarham walaupun tidak bersama Anwar dalam politik, tetapi dia senantiasa mengawasi dari jauh dengan penuh prihatin.

Bak kata Zaiyadi, Dr Siddiq tidak mahu menceburkan diri dalam politik kerana lebih menghormati kepada profesyen sebagai dai’ dan menghormati ilmuannya yang menerima kepelbagaian.

Banyak kekawannya memilih haluan dan jalur sendiri dalam politik, tetapi beliau tidak mencegahnya, kerana itu adalah kebebasan dan hak masing-masing.

Kehebatan Dr Siddiq Fadzil menurut Zaiyadi, beliau menghormati semua orang, sebab itu dia dihormat dan disanjung semua orang.

Sesungguhnya Dr Siddiq Fadzil meninggalkan satu akhlak dan kemuliaan yang terpuji untuk seluruh generasi.