Malaysia Dateline

Kehilangan jawatan PM tidak bergantung sokongan majoriti MP yang lain

Kenyataan Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa beliau tidak perlu meletak jawatan kerana tiada Ahli Parlimen lain yang mempunyai sokongan majoriti adalah bertentangan dengan Perkara 43 (4), Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil, peruntukan ini tidak menyebut tentang kehilangan jawatan PM bergantung kepada sokongan majoriti Ahli Parlimen yang lain.

Kata beliau lagi, ia adalah disebabkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong(YDPA) boleh melantik Ahli Parlimen lain sebagai PM yang pada hemat YDPA mempunyai keyakinan majoriti Ahli Parlimen sepertimana Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, ketiadaan kerajaan untuk berfungsi menguruskan negara tidak timbul kerana jentera kerajaan masih lagi berjalan seperti biasa dan PM yang baharu pasti dilantik dalam tempoh terdekat.

“Ianya telah pun berlaku semasa Langkah Sheraton pada tahun 2020 dan juga insiden rampasan kuasa di Perak pada tahun 2009 tanpa sebarang masalah dan kacau ganggu kepada pentadbiran kerajaan.

“Muhyiddin dan kabinet PN tidak boleh berterusan mencabuli Perlembagaan. Keabsahan dan legitimasi sebagai PM sudah hilang dan hormatilah keluhuran perlembagaan dan junjunglah kedaulatan undang-undang sepertimana tuntutan Rukun Negara,” ujar beliau yang juga merupakan Adun Permatang Pasir.

Tegas Faiz, Muhyiddin perlu letak jawatan dan ia bukannya pilihan kerana pentadbiran Muhyiddin dan PN ternyata gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik dan gagal menguruskan ekonomi negara dengan berkesan serta rakyat tidak lagi bersama kerajaan PN yang gagal.