Malaysia Dateline

Kejahilan Malaysia dipertonton kepada dunia

Saya mengambil sedikit masa untuk merenung apalah nasib dan masa depan sukan negara, setelah membaca beberapa kali artikel berhubung reaksi Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu atau dikenali Peja.

Sebelum saya jelaskan, saya ingin menyeru agar Peja sendiri membuat sedikit soul searching untuk memastikan apakah portfolio sukan ini benar-benar sesuai dengan karakter dan keperibadiannya sendiri.

Kenyataan Peja yang menyeru agar Jawatankuasa Penganjur khususnya Olahraga Para Dunia (WPA) dan Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) Mempertimbangkan agar keputusan pelucutan atlet lontar peluru para F20 Ziyad Zolkefli dari senarai peserta kerana kelewatan pendaftaran di bilik menunggu (call room) yang diwajibkan bagi semua peserta, pada pendapat saya, memesongkan semangat dan etika kesukanan.

“Apatah lagi atlet-atlet itu sudah bersedia menunggu selama lima tahun tetapi harapan dan semangat Paralimpik mereka dimusnahkan kerana kelewatan tidak sampai pun lima minit sahaja,” kata Peja kepada Berita Harian.

Tambahnya beliau amat berdukacita dengan tindakan IPC dan WPA ini.

Seterusnya, Peja menyeru agar pihak IPC dan WPA mengkaji semula peraturan,”termasuk peraturan yang memerlukan kebijaksanaan dalam menguruskannya”.

Tiada alasan

Pertama sekali, pegawai-pegawai MSN dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang bertanggungjawab ke atas Ziyad (athlet kategori F20 i.e. Intellectual impairment) adalah ditanggung oleh pembayar cukai negara dan mereka dibayar untuk mewakili dan membawa imej negara di mata dunia.

Memang benar atlet-atlet ini telah bersedia menunggu selama lima tahun untuk beraksi di Paralimpik Tokyo. Jadi, tiada alasan yang patut diterima untuk lewat walau seminit pun untuk kejohanan paling penting dalam karier Ziyad ini.

Apakah ada perkara lebih penting kepada mereka pada ketika itu yang menyebabkan mereka gagal menguruskan masa sampai terlewat tiga minit?

Apakah ini tidak merosakkan imej negara apabila pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan menguruskan atlet yang merupakan pemegang rekod dunia, juara dunia dan juara bertahan Paralimpik gagal perkara paling asas, iaitu menepati masa?

Dan memburukkan lagi keadaan, bukan sahaja ketua kontinjen negara dan beberapa media cuba menutup kesalahan mereka sendiri dengan menuding jari bukan sahaja kepada pihak penganjur, tetapi atlet negara lain.

Disokong kerajaan

Paling buruk apabila tingkah laku yang membawa kegagalan dan masalah disiplin asas ini disokong penuh dan dipertahankan oleh tidak lain dan tidak bukan Menteri Belia dan Sukan negara ini.

Malah, menteri tersebut turut menyeru agar IPC dan WPA mengubah pengurusan peraturan untuk membenarkan pelanggaran ini!

Tuan-tuan pembaca dan Peja. Sila terangkan kepada saya, apakah ini imej yang kita mahu paparkan kepada dunia? Kegagalan disiplin dan profesionalisme yang disokong penuh oleh kerajaan?

Jika jawapannya tidak, maka akauntabiliti harus ditegakkan dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab terhadap kegagalan ini harus diambil tindakan sewajarnya.

Peja juga kononnya mengarahkan MPM dan MSN menjalankan siasatan terperinci. Apakah MPM dan MSN tidak terlibat dalam perkara ini? Maka, mereka siasat kesalahan mereka sendiri?

Peja harus peka dengan masih relevannya Akta Pembangunan Sukan 1997 yang menjadi tunjang keberadaannya di jawatan itu. Maka tindakan perlu diambil berlandaskan undang-undang sukan negara, tanpa kompromi.

Tindakan yang lebih arif adalah memanggil Panel Penasihat Sukan untuk melakukan siasatan dan menasihati menteri untuk tindakan susulan, seperti yang diperuntukkan Akta Pembangunan Sukan 1997.

Langkah-langkah ini harus dimulakan dengan berlapang dada dan menerima hakikat bahawa kegagalan ini adalah berpunca dari kecuaian kita sendiri dan bukan salah orang lain.

Ini sukan, bukan politik.

Dalam sukan tiada keperluan untuk menafikan realiti atau menutup kegagalan.
Kerana kegagalan itu perlu disedari untuk diperbaiki jika kita mahu maju. Dan perlu kematangan untuk menerima hakikat ini.

Jadi berhentilah berdalih.

*ARNAZ M. KHAIRUL merupakan bekas wakil Asia Tenggara, Persatuan Wartawan Berbasikal Antarabangsa (AIJC).