Kejatuhan Adly kerugian besar kepada orang Melaka, kata Idris Haron
Sejenak bersamanya cukup bernilai dan bermakna," kata Ketua Pembangkang DUN Melaka itu.

Kejatuhan Adly kerugian besar kepada orang Melaka, kata Idris Haron

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron hari ini memuji Adly Zahari sebagai seorang pemimpin yang berkaliber, berkualiti, tawadduk dan rendah diri dan jika beliau jatuh ia satu kerugian besar kepada orang Melaka.

“Sejenak bersamanya cukup bernilai dan bermakna, walaupun dari sudut yang berbeza, kejatuhannya satu kerugian buat orang Melaka,” kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka dari Umno itu.

Kenyataan Idris di FB beliau hari ini yang memuji Adly.

Namun begitu, katanya, politik tidak mengenal personaliti.

“Hanya kerana kerakusan segelintir, yang baik pun dilihat buruk, yang cantik pula dilihat hodoh,” kata Adun Sungai Udang, Melaka itu.

Dalam posting di facebook beliau itu, Idris mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada Adly.

“Selamat menjalankan tugas YAB…saya hanya salah seorang dari 13 calon-calon CM12 yang tersenarai dari BN,” kata Idris.

Sebelum ini,  Idris pernah mendakwa seolah-olah ada unsur sabotaj beliau apabila dirinya hanya diberikan notis jemputan pada saat akhir pada Majlis Lawatan Presiden UMNO ke Melaka, hujung 2018 lalu.

Beliau juga mengakui terkejut dan kecewa apabila mendakwa hanya dimaklumkan mengenai kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lalu menyebabkan dirinya tidak dapat memenuhi undangan ke majlis itu kerana tuntutan ke program lain.

Malah, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang turut membangkitkan kewajaran program berkenaan yang seolah-olah ‘disengajakan’ dianjur bersebelahan ‘kawasannya’, iaitu di DUN Paya Rumput yang menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.