Kejatuhan harga sawit bukan disebabkan pemulauan EU, perang dagangan

Kejatuhan harga sawit bukan disebabkan pemulauan EU, perang dagangan

Kemerosotan harga minyak sawit mentah (MSM) semasa bukan disebabkan oleh pemulauan oleh Kesatuan Eropah (EU), perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, atau hubungan tidak mesra dengan pembeli dari China dan India.

Menteri Industri Utama Teresa Kok dalam ucapan penggulungan di Parlimen hari ini berkata harga MSM ditentukan oleh faktor penawaran dan permintaan, dan lebihan stok merupakan faktor utama yang menyumbangkan kepada kejatuhan harga MSM semasa.

“Purata MSM bagi tempoh Januari hingga Julai 2018 susut 17.3 peratus kepada RM2,393.5 setan berbanding RM2,895 setan dalam tempoh yang sama pada 2017. Harga terkini MSM setakat 3 Ogos ialah RM2,143 setan.

“Kemerosotan harga bagi setengah tahun pertama disebabkan stok yang tinggi, melebihi purata dua juta tan, disebabkan pengeluaran yang tinggi dalam tempoh yang sama,” katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata kejatuhan harga sawit juga seiring dengan kejatuhan harga minyak sayuran saingannya di dunia, terutama minyak kacang soya, dengan kedua-duanya merupakan barang pengganti yang hampir sama dan bersaing merebut pasaran minyak sayur yang sama.

Bagaimanapun, prestasi minyak sawit Malaysia ke pasaran Eropah, China dan India menunjukkan peningkatan bagi tempoh Januari-Mei 2018, katanya.

“Eksport ke Kesatuan Eropah (EU) meningkat 26.52 peratus kepada 876, 953 tan, dengan jumlah nilai eksport meningkat 1.51 peratus kepada RM2.32 bilion berbanding RM2.29 bilion pada tahun sebelumnya.

“Eksport ke China dan India masing masing meningkat 17.3 peratus kepada 632, 745 tan dan 43.1 peratus kepada 1.41 juta tan berbanding 2017,” katanya.

Mengenai peningkatan pembelian sawit Indonesia oleh China, beliau berkata ia bukanlah disebabkan oleh hubungan kurang mesra Malaysia dengan negara tersebut atau pun disebabkan kualiti sawit Malaysia yang merosot, sebaliknya lebih kepada penawaran harga yang lebih murah oleh Indonesia.

Menyentuh mengenai serangan persepsi Eropah terhadap komoditi sawit, kerajaan sedang merancang berbagai mesej strategik bagi menentang serangan tersebut, termasuk mengatur beberapa lawatan bagi melobi pemimpin EU, katanya.

Bagi menangani isu lebihan stok, Menteri itu berkata kerajaan akan terus meneroka beberapa pasaran baharu, termasuk Filipina, negara-negara di Afrika dan Iran.

Inisiatif bagi meningkatkan penggunaan biodiesel, dalam kalangan pemilik kenderaan Malaysia, turut dilihat boleh menyumbang kepada penurunan stok MSM, katanya.

Di samping itu beliau berkata kerajaan turut melihat pentingnya penjenamaan komoditi sawit Malaysia, antaranya dengan meningkatkan pemprosesan mengikut piawaian kemampanan.

Skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia MSPO akan dimandatorikan pada 31 Dis 2019, dan untuk itu, pekebun kecil akan diberi kesedaran dari segi kemampanan pemprosesan, katanya.