Jawatankuasa Disiplin DAP Kebangsaan telah membuat keputusan memecat tiga anggotanya, menggantung seorang ahli serta memberikan surat tunjuk sebab kepada lapan yang terlibat dalam insiden kejatuhan kerajaan negeri Perak kepada Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chieng Jen dalam satu kenyataannya berkata, pemecatan tiga anggota parti tersebut berkuatkuasa serta merta.
Ketiga-tiga mereka adalah Kong Lai Ling, Ng Sook Whye dan Khi Poh Chong.
“Jawatakankusa Disiplin DAP Kebangsaan dalam mesyuarat bertarikh 07.07.2020 telah membuat keputusan berkenaan dengan aduan-aduan disiplin yang telah dipanjangkan kepada Jawatankuasa ini khasnya berkenaan dengan insiden-insiden yang berlaku selepas kejatuhan Kerajaan Negeri Perak Pakatan Harapan pada bulan Mac 2020,” kata kenyataan itu.
Ketiga-tiga ahli di atas telah berlibat dalam “counter protest” di Pusat Khidmat Paul Yong Choo Kiong terhadap bantahan lompat parti yang disertai oleh akar umbi DAP di Kawasan Tronoh, katanya.
“Kesemua mereka didapati aktif membantu Paul Yong Choo Kiong yang telah dipecat oleh Jawatankuasa ini walaupun Jawatankuasa ini telah memberikan amaran kepada ahli-ahli sebelum ini supaya tidak lagi bersama dengan ahli-ahli wakil rakyat yang telah lompat parti / dipecat. Kong Lai Ling juga telah menerima jawatan sebagai Ahli Majlis Daerah Batu Gajah Kerajaan PN,” kata Chong.
Sementara itu, Jawatankuasa Disiplin juga telah mengenalpasti ahli-ahli DAP yang hadir dalam sidang akhbar pengumuman kemasukan A Sivasuramaniam ke Parti Gerakan pada 26.06.2020, dan kesemua mereka akan dikeluarkan surat tunjuk-sebab (show-cause) atas tindakan mereka tersebut.
Mereka adalah Dan Adriel A/L Daniel Velloo, Angeline Phillip A/P Joe Phillip, Murugiah A/L Palany, Joseph Hendry A/L Kovil Pillai John, Amir Bin Abdullah, Marimutu A/L Ranggasamay, Theivanai A/P Selba dan William John A/L Johin Bin.
Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Dispilin juga memutuskan untuk menggantung keahlian Loh Eng Soon selama satu tahun kerana beliau dengan sengaja melemparkan fitnah jahat dan memburuk-burukkan nama pimpinan DAP negeri dalam akaun Facebook beliau.
“Tulisan beliau dalam Facebook beliau juga telah mencemarkan nama baik parti DAP,” kata Chong.
Menurut Chong, Jawatankuasa Disiplin menegaskan bahawa mereka tidak akan bertoleransi dengan mana-mana ahli yang menerima jawatan dengan Kerajaan PN, atau masih bersama-sama / membantu wakil rakyat yang telah mengkhianati perjuangan DAP.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya jawatankuasa ini menerima aduan,” katanya.