Malaysia Dateline

“Kejatuhan Mas bermula bila budak-budak cerdik dihantar untuk selamatkan Mas”

Permulaan kepada tragedi kejatuhan Mas bermula apabila ‘budak-budak cerdik dihantar untuk ‘menyelamatkan’ syarikat penerbangan milik negara itu, kata Datuk A Kadir Jasin (gambar).

Bekas Penasihat Media kepada perdana menteri itu berkata, dengan nasihat perunding antarabangsa, mereka melakukan “asset unbundling” yang kononnya untuk mencairkan harta Mas atau Malaysia Airline System.

“Tetapi apa yang mereka lakukan tidak lebih daripada menjual harta Mas yang dikumpul oleh pengurusan terdahulu berdekad-dekad lamanya,” kata tokoh wartawan negara itu menerusi facebook beliau.

Sehubungan itu, katanya, apa pun yang akan berlaku kepada Mas seterusnya, beliau yakin banyak orang mempunyai cukup sebab dan alasan untuk bernostalgia dan merindui zaman gemilangnya.

Kadir menulis, “Ada orang kata, jangan nostalgia lagi mengenai Mas.”

Namun bagi beliau, orang yang berkata sedemikian tidak pun faham apa erti nostalgia.

“Apa salahnya kita mengingati dan merindui apa yang telah berlalu yang menyentuh kehidupan kita,” kata Kadir yang mula naik pesawat Mas sejak 1970-an.

“Gambar pesawat Boeing B737-200 milik Mas ini saya ambil di Lapangan Terbang Polonia, Medan, Indonesia pada awal tahun 1970-an.

“Itulah masa saya mula terbang dengan Mas dan mengikuti bangun jatuh syarikat penerangan negara itu daripada zaman Tan Sri Rama Iyer, Raja Tun Mohar Raja Badiozaman, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Tan Sri Saw Huat Lye dan Tan Sri Tajudin Ramli,” katanya.