Malaysia Dateline

Kos menunaikan haji dijangka terus meningkat disebabkan kos penginapan, pengangkutan, makan-minum dan lain-lain perkhidmatan turut bertambah

Kejayaan Tabung Haji bukti kemampuan PH

Kejayaan Tabung Haji (TH) mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak RM1.25 bilion pada setengah tahun pertama 2020 adalah bukti kejayaan penstrukturan semula yang diilhamkan oleh Pakatan Harapan (PH).

Malah nilai aset TH sebanyak RM78 bilion juga kini telah kembali lebih tinggi berbanding liabilitinya dengan lebihan sebanyak RM1.9 bilion walaupun sebelum Mei 2018 telah ditinggalkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam keadaan defisit.

FAIZ FADZIL

Menurut Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil, dalam tempoh dua tahun pemerintahan PH, pelbagai reformasi dan kejayaan telah berjaya dicapai.

“Kadar pengangguran secara amnya telah menurun ke lingkungan 3.2 peratus hingga 3.3. peratus bagi setiap suku jika dibandingkan 3.4 peratus hingga 3.5 peratus pada suka tahun 2016 hingga 2017 semasa berada dibawah pentadbiran BN.

“PH juga telah memperkenalkan kembali subsidi petrol yang dimansuhkan oleh Najib Razak pada tahun 2014 dan ini telah membantu secara signifikan terhadap usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.

“Pertumbuhan ekonomi negara (KDNK) turut menunjukkan keutuhan yang signifikan pada kadar 4.8 peratus pada tahun 2018 dan 4.3 peratus pada tahun 2019 walaupun dalam keadaan ekonomi global yang lembap, ” jelas beliau.

Malah kata Faiz lagi, kebajikan sosio ekonomi rakyat terus dibela oleh PH menerusi pelbagai inisiatif seperti i-Suri yang mewujudkan skim KWSP berserta insentif untuk suri rumah, mengembangkan skim perlindungan Perkeso kepada pekerja ekonomi gig dan memperkenalkan gaji minima RM1,200 di bandar-bandar besar.

Tegasnya kerajaan PH juga telah memperkenalkan dua skim kesihatan yang sangat penting untuk golongan B40 iaitu Skim Perlindungan Kesihatan (Peka) dan MySalam, iaitu skim insurans yang menyediakan perlindungan untuk 45 penyakit kritikal.

“Pelaburan langsung asing diluluskan (approved FDI) turut mencapai tahap paling tinggi dalam sejarah ketika pemerintahan PH apakala pada tahun 2019, pelaburan langsung asing diluluskan adalah sebanyak RM82.4 bilion, manakala pelaburan domestik mencecah RM125.5 bilion.

“Selain itu pelaburan dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia dan dua bidang pertumbuhan tinggi iaitu industri aeroangkasa dan alat perubatan menyaksikan pertumbuhan sebanyak 90.2 peratus kepada RM40.9 bilion pada tahun 2019.

“Usaha PH mewujudkan persekitaran ‘business friendly’ telah diiktiraf oleh Bank Dunia, dimana ranking Malaysia dalam indeks Doing Business 2020 telah meningkat kepada kedudukan ke-12, iaitu lebih tinggi berbanding negara-negara lain seperti Jerman, Kanada dan Finland, ” ujar beliau.

Ia juga berkata, dari aspek memastikan pengurusan fiskal yang lebih telus supaya kesilapan ketika pemerintahan BN tidak diulangi, kerajaan PH telah mengemukakan maklumat mengenai hutang yang dijamin kerajaan dan liabiliti kontinjen dalam Laporan Tinjauan Fiskal negara.

Di samping itu, tegasnya, kerajaan PH telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen yang turut dianggotai wakil pembangkang untuk menilai belanjawan dan pengurusan kewangan kerajaan serta penilaian belanjawan pertengahan tahun turut dibentangkan ke jawatankuasa tersebut.

Faiz juga berkata, selain TH, PH telah mengambil beberapa keputusan strategik untuk memulihkan dan memantapkan institusi-institusi lain seperti Khazanah Nasional, Felcra dan FGV Holdings sehinggakan membuahkan hasil apabila Khazanah Nasional telah berjaya mencatatkan keuntungan daripada operasi terbesar dalam sejarah pada tahun 2019 iaitu RM7.4 bilion.

“Sebenarnya usaha telah diambil untuk merombak strategi pelaburan Khazanah Nasional yang sebelum ini berisiko tinggi kerana hampir 80 hingga 85 peratus nilai pelaburan tertumpu kepada 9 hingga 10 syarikat sahaja.

“Sementara itu bagi Felcra pula, program transformasi perniagaan telah diperkenalkan untuk mengurangkan beban hutang dan kerugian yang dialami oleh institusi tersebut serta ianya dijangka akan membuahkan hasil bermula pada tahun 2021.

“Di peringkat Felda dan FGV, program transformasi yang bermula pada suku ke tiga tahun 2018 telah membantu memantapkan operasi, menamatkan ketirisan dalam pembelian dan memulihkan pendapatan syarikat, ” tambah beliau.

Beliau juga optimis polisi urus tadbdir yang baik, telus, bersih dan cekap yang telah diperkenalkan oleh PH akan terus membuahkan hasil positif sekiranya inisiatif-inisiatif berkenaan tidak ddiganggu oleh kerajaan PN.

Katanya lagi, institusi-institusi penting negara perlu dipertahankan daripada kembali dibelenggu oleh pengurusan yang lemah dan korup sewaktu dibawah BN.

Mamun begitu, katanya, ketidakstabilan politik kerajaan PN yang tidak mempunyai mandat yang sah daripada rakyat dan hanya memiliki majoriti tipis di Parlimen tidak mampu menarik keyakinan pelabur yang boleh menjejaskan sektor perniagaan ddan pekerjaan dalam negara.